Kuala Lumpur: Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala di sini, semalam, atas pertuduhan menipu dengan mengubahsuai slip pembayaran bank untuk pembelian beg berjenama Louis Vuitton (LV) dan Chanel.

Nursyazwani Mohd Jamil, 28, bagaimanapun tidak mengaku bersalah atas tiga pertuduhan dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan.

Majistret Nurul’ Ain Abdul Rahim menetapkan 16 Januari depan untuk sebutan semula.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Nursyazwani yang bekerja sebagai kerani didakwa menipu mangsa dengan cara mengubahsuai slip pembayaran Maybank2u sedangkan ia adalah palsu.

Perbuatan itu menyebabkan mangsa menyerahkan beg yang ditempah iaitu beg LV berharga RM3,500; beg Chanel berharga RM13,500 dan casing iPad berharga RM1,500 kepada tertuduh pada 22 Mei 2014 dan 8 Jun 2014.

Nursyazwani didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Tun Mohd Fuad 3, Brickfields pada 22 Mei dan 8 Jun lalu.

Manakala bagi pertuduhan ketiga, Nursyazwani didakwa menipu mangsa yang sama dengan cara membatalkan tempahan barang dan meminta wang RM15,800 dipulangkan semula sedangkan bayaran sebelum ini tidak pernah dibuat.

Bagi ketiga-tiga perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Nursyazwani didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Tun Mohd Fuad 3, Brickfields pada 22 Mei, 3 Jun dan 8 Jun lalu.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyah Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Disember 2014 @ 9:15 AM