ANGGOTA tentera yang berpakaian lengkap dan bersenjata berat mengawal keadaan.
ANGGOTA tentera yang berpakaian lengkap dan bersenjata berat mengawal keadaan.
ZULKIFELI (kiri) memberi kata-kata semangat kepada sebahagian anggota tentera yang terbabit dalam Ops Khas Cameron Highlands.
ZULKIFELI (kiri) memberi kata-kata semangat kepada sebahagian anggota tentera yang terbabit dalam Ops Khas Cameron Highlands.
Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

Cameron Highlands: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menempatkan pasukan komando Rejimen 21 Grup Gerak Khas (GGK) secara tetap di Kem Slim, di sini, bagi mengekang kegiatan pencerobohan tanah haram di kawasan peranginan itu.

Panglima ATM Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata, penempatan anggota GGK di kem yang tidak digunakan sejak 10 tahun lalu bagi mengelak wujudnya kegiatan pencerobohan tanah secara haram yang baru di kawasan itu.

Beliau berkata, pihaknya berbincang dengan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor untuk menjadikan kem itu sebagai pusat latihan ketenteraan aras tinggi.

Menurutnya, jumlah anggota yang ditempatkan di kem itu belum diketahui dan akan diputuskan selepas perbincangan dilakukan nanti.

“Kita lihat tiada pencerobohan baru selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN), ATM serta polis melakukan Ops Bersepadu Khas dan Ops Gading di sini dan saya rasa anggota tentera perlu berada di sini secara tetap.

“Sejak kami keluar dari kem ini pada 2010, tiada anggota ditempatkan di kem itu dan saya lihat kawasan ini cukup sesuai dijadikan pusat latihan ketenteraan aras tinggi, sekali gus mengekang pencerobohan tanah,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Markas Kawalan Operasi Bersepadu Khas Kem Slim dan mendengar taklimat operasi.

Taklimat itu diberikan Pegawai Daerah Cameron Highlands Datuk A Rahman Hamzah serta Komander Operasi Asisten Komisioner Mohd Shaharudin Baharom.

Mengulas mengenai Ops Bersepadu Khas dan Ops Gading bagi mengatasi kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) serta penerokaan tanah secara haram di kawasan itu, Zulkifeli berkata, sehingga kini tiada penerokaan baru dikesan selepas operasi dijalankan.

“Operasi ini memakan masa, tetapi apa yang penting ia mengekang kegiatan penerokaan haram yang baru daripada berlaku. Ia akan dilakukan secara berperingkat mengikut perancangan.

“Kita akan meneruskan operasi ini sehingga kawasan penerokaan haram dimusnahkan termasuk menahan semua PATI seperti diarahkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya.

Menurutnya, ATM menempatkan 200 anggotanya dalam kedua-dua operasi berkenaan dan setakat ini, beliau berpuas hati dengan penguatkuasaan dilakukan di kawasan peranginan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Disember 2014 @ 3:00 AM