ANGGOTA Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan anggota tentera daripada 21 Rejimen Askar Melayu Diraja (21 RAMD) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memasukkan  barang  bantuan ke dalam lori untuk dihantar kepada mangsa banjir di Kuala Krai.
ANGGOTA Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan anggota tentera daripada 21 Rejimen Askar Melayu Diraja (21 RAMD) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memasukkan barang bantuan ke dalam lori untuk dihantar kepada mangsa banjir di Kuala Krai.

Kota Bharu: “Belum ada keperluan lagi. Bagi kita belum sesuai untuk (isytihar) darurat lagi,” kata Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau berkata, setakat jam 8 malam tadi, keadaan banjir di seluruh Kelantan masih terkawal dengan hanya tiga kawasan di Jajahan Kuala Krai yang kritikal dan sukar dimasuki pasukan keselamatan untuk memberikan bantuan atau membantu memindahkan mangsa ke kawasan lebih selamat.

Menurutnya, pihak berkuasa keselamatan masih berusaha memasuki tiga kawasan di jajahan berkenaan iaitu Manek Urai, Lalok dan Karangan bagi menyelamatkan mangsa yang terperangkap serta menyalurkan bantuan termasuk makanan.

“Secara keseluruhannya keadaan banjir masih dalam kawalan dan pasukan keselamatan sedaya upaya melakukan yang terbaik untuk membantu mereka, cuma tiga kawasan di Kuala Krai yang kritikal.

“Semua proses menyelamat dilakukan seboleh mungkin mengikut pelbagai cara. Kalau nak kata perlu isytihar darurat, orang ramai perlu nilai sejarah banjir di Kelantan dulu.

“Pada 1967 dan 2004, keadaannya lebih teruk daripada sekarang, tetapi tiada pengumuman darurat ketika itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa mendapatkan pandangan semua pihak dalam misi menyelamatkan mangsa banjir sebelum membuat sebarang keputusan termasuk pengisytiharan darurat.

Beliau berkata, ketika ini tumpuan lebih kepada operasi menyelamat dan menyalur bekalan makanan serta keperluan, malah pihaknya bersedia menambah peruntukan kewangan mengikut keperluan.

“Keputusan dicapai dalam mesyuarat Exco tadi (semalam) kita bersedia menambah jumlah peruntukan ikut keperluan mangsa banjir,” katanya.

Mohd Amar turut menyelar tindakan pihak tertentu yang menyebar maklumat palsu mengenai keadaan banjir di Kelantan hingga menimbulkan kerisauan penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Disember 2014 @ 3:06 AM