BANJIR di Kampung Pahi  menyebabkan rumah penduduk ditenggelami air sehingga paras bumbung.
BANJIR di Kampung Pahi menyebabkan rumah penduduk ditenggelami air sehingga paras bumbung.
 penduduk Taman Bukit Sirih duduk di atas tiang pagar  memerhati keadaan rumahnya yang dimasuki air akibat limpahan Sungai Nal.
penduduk Taman Bukit Sirih duduk di atas tiang pagar memerhati keadaan rumahnya yang dimasuki air akibat limpahan Sungai Nal.
Jalan utama menghubungkan Gua Musang-Kuala Krai di Kampung Pahi turut dinaiki air menyebabkan hubungan darat terputus.
Jalan utama menghubungkan Gua Musang-Kuala Krai di Kampung Pahi turut dinaiki air menyebabkan hubungan darat terputus.

Kota Bharu: Operasi menghantar bantuan dan memindahkan mangsa di jajahan Kuala Krai menggunakan helikopter, semalam berdepan kesukaran berikutan cuaca buruk sejak pagi.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berkata, berikutan itu beberapa penerbangan berpatah balik selepas cuba memasuki ruang udara Kuala Krai beberapa kali.

Katanya, lebih tiga helikopter milik Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) digunakan dalam operasi berkenaan dan lebih banyak lagi aset milik agensi berkaitan turut dikerah.

“Kuala Krai jajahan paling kritikal dan kami menghadapi kesukaran menghantar bantuan dan menyelamat mangsa menggunakan jalan darat disebabkan arus deras.

“Langkah berikutnya dengan menggunakan laluan udara dan helikopter disediakan, namun percubaan sejak pagi menemui kegagalan kerana cuaca buruk,” katanya, semalam.

Menurutnya, sehingga semalam, lebih 40 peratus kawasan dinaiki air di Gua Musang mulai surut, namun Kuala Krai, kritikal dan perhubungan telekomunikasi juga menghadapi kesukaran.

Katanya, mangsa yang terperangkap diharap mampu bertahan hingga bantuan dihantar dan semua agensi penyelamat bertungkus lumus membantu mereka.

“Kita cuba sedaya upaya mencari jalan terbaik supaya operasi diteruskan membantu mereka di sana,” katanya.

Sementara itu, 500 mangsa banjir terperangkap di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Manek Urai, Kuala Krai selepas kawasan pusat pemindahan banjir itu dinaiki air sehingga tingkat tiga bangunan itu sejak pagi semalam.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat Kelantan berkata, air yang naik mendadak menyebabkan semua mangsa menyelamatkan diri naik ke tingkat empat bangunan berkenaan.

Katanya, pasukan penyelamat berdepan masalah memindahkan semua mangsa kerana tiada lokasi sesuai menempatkan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Disember 2014 @ 3:07 AM