Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
firdaus_ibrahim@hmetro.com.my


Kajang: Seorang peragut ‘dihadiahkan’ penampar oleh orang ramai selepas bertindak ganas menendang hingga jatuh tiga sekeluarga yang sedang menunggang motosikal.

Dalam kejadian jam 6.30 petang kelmarin, dua penjenayah dikatakan mengekori mangsa sebelum menyerang keluarga terbabit berhampiran Beranang di sini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, tiga mangsa terbabit dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di kawasan berhampiran.

“Mangsa berusia 32 tahun dan isterinya 29 tahun serta anak lelaki berusia tiga tahun dikatakan menaiki sebuah motosikal.

“Mangsa bagaimanapun dihampiri sebuah lagi motosikal dinaiki dua lelaki tidak dikenali. Pembonceng motosikal itu kemudiannya menendang motosikal dinaiki mangsa menyebabkan mereka terjatuh,” katanya.

Menurutnya, suspek kemudian bergegas meluru ke arah mangsa sebelum cuba meragut rantai leher dipakai isteri mangsa ketika itu.

Ab Rashid berkata, suspek kemudian cuba melarikan diri dengan menaiki motosikal namun gagal berikutan enjin motosikal itu gagal dihidupkan.

“Salah seorang penjenayah lari meninggalkan motosikal manakala seorang lagi penjenayah berjaya diberkas oleh orang ramai yang menyedari kejadian itu.

“Penjenayah berusia 19 tahun itu kemudian diserahkan kepada pihak polis yang dimaklumkan berhubung kejadian itu,” katanya.

Menurutnya, mangsa menerima lima jahitan di kaki kirinya manakala anak dan isteri hanya dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Kajang di sini.

“Suspek akan direman untuk siasatan dan tindakan lanjut. Usaha memburu rakan suspek akan diteruskan dan kita percaya dia akan ditahan dalam masa terdekat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Disember 2014 @ 9:49 PM