Oleh Asmah Rusman

Gua Musang: Bagai tsunami kecil. Itu anggapan penduduk daerah ini yang teruk dilanda banjir kali ini ketika mereka menghadapi air banjir yang naik dengan cepat dan mengalir deras yang melanda kediaman mereka Selasa lalu.

Penduduk di sekitar kawasan Sungai Terah dan Sungai Galas yang terjejas teruk dan hanya tinggal sehelai sepinggang masih trauma dengan kejadian menimpa mereka itu terutama ketika cuaca kembali hujan.

Seorang penduduk dari Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Sungai Terah Norkamisah Mohd Talubi, 37, tidak mampu menahan sebak ketika menceritakan kejadian itu kepada Metro Ahad ketika ditemui di masjid kampung berkenaan yang menjadi pusat pemindahan mangsa banjir.

Menurut Norkamisah, hujan lebat berterusan bermula awal pagi Isnin yang menyebabkan paras air naik setinggi 0.5 meter kira-kira jam 11 malam yang sama.

“Kami sudah mula berkemas ketika itu dan berada dalam keadaan berjaga-jaga namun tidak sangka kurang daripada 12 jam air naik mendadak menenggelamkan rumah di pesisir sungai ini.

“Kami segera menyelamatkan diri di sebuah sekolah rendah berhampiran kawasan berkenaan malangnya bangunan itu turut ditenggelami air banjir yang semakin deras dan berbahaya,” katanya.

Katanya, penduduk kemudiannya lari mendaki bukit untuk menyelamatkan diri dan hanya mampu melihat rumah masing-masing roboh dan hanyut dibawa arus deras.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Disember 2014 @ 5:35 AM