AHLI Kelab Ultras Malaya Taming Sari Melaka memasukkan barangan sumbangan orang ramai.
Ketua Pengarah JAKIM Datuk Othman Mustapha selepas majlis penyerahan dan pelepasan konvoi Misi Selami Jiwa.
PEMEGANG Amanah EcoWorld Foundation, Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad (kanan) menyampaikan sumbangan untuk MPB sambil diperhatikan Lee.

Kuala Lumpur: Tabung Bencana Media Prima Berhad (MPB)-The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) terus mendapat sumbangan apabila Yayasan Eco World menghulurkan RM50,000 dalam meringankan bebanan mangsa banjir yang berlaku di pantai timur dan juga Perak, Perlis dan Johor.

Sumbangan berbentuk makanan dan keperluan asas itu disampaikan oleh Pengerusinya Tan Sri Lee Lam Thye dan akan disalurkan kepada mangsa bencana itu menerusi misi Briged Sukarelawan MPB-NSTP.

Selain itu, bantuan turut dihulurkan di Georgetown, Pulau Pinang apabila sebuah kumpulan basking, Keydean Project menghulurkan sumbangan RM850 kepada Tabung MPB-NSTP.

Sumbangan itu disampaikan oleh wakilnya, Raja Muhammad Nahrul Khair Raja Kamar yang turut mendapat kerjasama Island Bikers Crews dan Kelab Pemilik Proton Satria.

Di Segamat, Johor pula, syarikat tekstil Jakel Trading Sdn Bhd dan pengeluar tudung Ariani Textiles & Manufacturing (M) Sdn Bhd menyumbang pelbagai jenis pakaian dan makanan bernilai RM1 juta.

Pengurus Jakel Trading Sdn Bhd Luqman Mohamed Jakel berkata, sumbangan itu sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat pihaknya dan Ariani Textiles & Manufacturing (M) Sdn Bhd.

Di Melaka, kumpulan penyokong bola sepak Melaka atau dikenali sebagai Ultras Taming Sari mengumpul sumbangan orang ramai melalui Program Amal Kutipan Bantuan Banjir Pantai Timur di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.

Pengerusinya Lekir Ahmad berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan Kesatuan Sekerja Kakitangan Makmal Melaka dan Jabatan Pertahanan Awam negeri dalam mengumpul sumbangan untuk meringankan beban mangsa bencana itu.

Sementara itu, di ibukota, syarikat konglomerat CIMB Group Bhd, Malayan Banking Bhd, UEM Group Bhd dan TM turut tidak ketinggalan menghulurkan bantuan melalui usaha yang dipanggil GLC Disaster Response and Relief Network (GDRRN).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Disember 2014 @ 7:30 AM