Kuala Krai: Empat anggota penyelamat diketuai seorang pegawai tentera berpangkat Leftenan Kolonel terpaksa mempertaruhkan nyawa selama tujuh jam untuk sampai ke Manek Urai pada 22 Disember lalu.

Pegawai Memerintah Batalion ke-16 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Leftenan Kolonel Saiful Anuar Jaafar dan pembantunya Kapten Ibrahim Musa bersama dua pegawai bomba berdepan detik cemas ketika mengharungi arus deras di sepanjang perjalanan menuju ke lokasi banjir paling terburuk di Kelantan berkenaan.

Saiful Anuar berkata, mereka bertolak dari Kuala Krai kira-kira jam 6.30 petang menggunakan bot amfibia sebelum tiba di Manek Urai kira-kira jam 2 pagi.

Katanya, perjalanan memakan masa agak lama berbanding jarak perjalanan disebabkan pelbagai rintangan berisiko tinggi terpaksa dihadapi mereka.

“Kami terpaksa berdepan banyak kayu sebesar paha dan lengan yang hanyut, selain bot terlanggar kabel elektrik, bumbung rumah, jambatan kereta api dan pokok.

“Arus deras turut menyebabkan bot dinaiki kami tidak stabil, namun, mujurlah tidak terbalik,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) di Manek Urai, kelmarin.

Difahamkan, Saiful Anuar dan pasukannya itu adalah anggota penyelamat pertama tiba di Manek Urai selepas bot anggota penyelamat lain gagal melepasi arus deras terutama ketika hendak melintasi Sungai Lebir.

Menurutnya, selain pernah menyertai misi pengaman, inilah kali pertama beliau berdepan situasi agak mendebarkan itu.

Katanya, beliau bersama anggota lain tidak henti-henti berdoa di sepanjang perjalanan itu supaya mereka selamat serta tidak ditimpa musibah.

“Selama tujuh jam itu, kami terpaksa menahan kesejukan, selain keadaan persekitaran terlalu gelap hingga menyukarkan kami mencari arah.

“Apapun, saya tetap berpuashati kerana kami berjaya sampai ke destinasi yang dituju dengan selamat walaupun kadangkala terpaksa berdepan dengan maut pada malam itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Disember 2014 @ 6:20 AM