Oleh Fardy Bungga

Manila: Belum pun tragedi pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 reda, pesawat milik AirAsia Zest terbabas dari landasan ketika mendarat di Lapangan Terbang Kalibo, Pulau Panay, Filipina, semalam.

Dalam kejadian jam 4.50 petang (waktu tempatan), pesawat yang membawa 184 penumpang dan anak kapal itu dikatakan mengalami masalah tayar ketika mendarat.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa ataupun kecederaan dilaporkan berlaku kepada penumpang dan anak kapal di dalam pesawat malang itu.

Menurut seorang wartawan Damazo Santos yang berada di dalam pesawat berkenaan, semua penumpang dikeluarkan dari pesawat menggunakan gelongsor kecemasan.

“Enjin dimatikan dan kami diarahkan keluar tanpa membawa bagasi. Jentera bomba bersedia di di kawasan kejadian menghadapi sebarang kemungkinan.

“Cuaca sangat buruk dan pesawat berhenti secara mendadak sejurus mendarat,” katanya yang dipetik dari akaun twitternya, semalam.

Ini adalah insiden terbaru membabitkan syarikat penerbangan AirAsia selepas pesawat QZ8501 dari Surabaya menuju ke Singapura dikesan terhempas di perairan Pangkalan Bun di Kalimantan, Indonesia, pagi Ahad lalu.

Dalam kejadian berasingan Ahad lalu, pesawat AirAsia yang berlepas dari LapanganTerbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) menuju ke Langkawi, Kedah dilapor berpatah balik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Disember 2014 @ 6:39 AM
Digital NSTP Subscribe