Kajang: Seorang penyamun ‘spiderman’ dibelasah orang ramai selepas dikesan menceroboh rumah penduduk di Taman Bangi Jaya di sini.

Dalam kejadian jam 12.45 tengah hari kelmarin, suspek remaja berusia 18 tahun itu dikesan menggunakan taktik memanjat bumbung kediaman untuk menyusup masuk ke rumah mangsa.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, suspek dikesan memasuki rumah penduduk melalui bumbung manakala dua lagi rakannya menunggu di belakang rumah memerhatikan keadaan sekeliling.

Bagaimanapun, tindak tanduk suspek disedari jiran sebelum memaklumkan kejadian itu kepada pemilik rumah berkenaan.

“Mangsa yang ketika itu berada di restoran miliknya di Semenyih bergegas pulang ke rumah.

“Jirannya memberitahu beberapa lagi penduduk sebelum mereka mengepung rumah mangsa,” katanya.

Rashid berkata, dua lagi penjenayah yang berada di luar rumah itu bagaimanapun sempat melarikan diri dengan menaiki motosikal.

“Suspek yang masih berada di dalam rumah tidak sempat melarikan diri. Suspek cuba ditahan sebelum berlaku pergelutan berikutan penjenayah itu enggan menyerah diri.

“Beberapa penduduk yang geram memukul mangsa sebelum diserahkan kepada anggota polis,” katanya.

Menurutnya, suspek kini menerima rawatan di Hospital Kajang.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana menyamun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 January 2015 @ 7:36 AM