Muhyiddin mendengar penerangan mengenai carta operasi penjanaan di TNB, Bangsar, Kuala Lumpur.
Muhyiddin mendengar penerangan mengenai carta operasi penjanaan di TNB, Bangsar, Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur: Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu semua pihak termasuk Tenaga Nasional Bhd (TNB) mengambil iktibar berikutan terputusnya bekalan elektrik di negeri yang terjejas akibat banjir khususnya di pusat pemindahan.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan insiden seperti itu dapat dielakkan sekiranya pihak terbabit bersiap sedia lebih awal selepas mengenal pasti lokasi bakal ditenggelami air.

Ini kerana tegas beliau lagi, pihak berwajib seperti Jabatan Meteorologi Malaysia sudah meramalkan kawasan yang dinaiki air dan ramalan itu sekurang-kurangnya patut menjadi panduan pihak berwajib.

“Set jana kuasa boleh dihantar lebih awal jadi kalau banjir, maka bekalan elektrik tidak akan terputus.

“Memang ada disediakan tetapi ada yang tidak kerana tanggungjawab pihak lain tetapi yang TNB, mereka sudah bekalkan tapi lebih baik ambil langkah awal seperti di kawasan mudah dinaiki air.

“Langkah awal boleh dilakukan termasuk juga bekalan makanan, seperti saya beri tahu JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat), jangan tunggu air sudah naik, umpamanya Pekan (Pahang) yang sudah tahu 62 jam awal bahawa akan hujan dan banjir. Betul terjadi semasa saya datang di Kuantan yang air sudah naik di Pekan,” kata beliau.

Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat berkaitan bekalan tenaga elektrik di kawasan banjir di seluruh negara di ibu pejabat TNB, semalam.

Beberapa kawasan dan daerah terputus bekalan elektrik sepanjang tempoh banjir luar biasa di Pantai Timur mengakibatkan pusat pemindahan bergelap memaksa mangsa tidur secara bergilir untuk memantau paras air.

Hospital Kuala Krai pula terpaksa beroperasi tanpa bekalan elektrik sepenuhnya selama lima hari.

Dalam pada itu Muhyiddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, kesan banjir terburuk itu dapat dijadikan pengajaran untuk mengurangkan beban tiada bekalan elektrik supaya dapat diurus lebih baik pada masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 January 2015 @ 7:49 AM