Kuala Lumpur: Penurunan harga petrol tidak menjamin penurunan harga barang keperluan serta kos sara hidup memandangkan kebanyakan peniaga lebih berorientasikan keuntungan.

Pandangan itu dizahirkan Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman yang berpendapat penurunan harga petrol pada kebiasaannya tidak akan mempengaruhi penurunan harga barang.

“Jika tengok sejarah sebelum ini pun, apabila minyak turun harga, harga barang tidak akan turun. Ini kerana kebanyakan peniaga lebih berorientasikan keuntungan berbanding kebajikan pengguna.

“Tetapi apabila harga petrol naik sedikit pun, cepat sahaja mereka naikkan harga,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Kerajaan mengumumkan harga runcit bagi petrol RON95 dan RON97 diturunkan 35 sen, masing-masing kepada RM1.91 seliter dan RM2.11 seliter, berkuat kuasa hari ini.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia Datuk Dr Ma’amor Osman turut berpendapat sudah tiba masanya kejujuran peniaga dituntut untuk turut sama menurunkan harga barangan.

“Alasan harga petrol naik sering digunakan untuk menaikkan harga barang, jadi bila harga petrol turun ia perlu diselarikan dengan penurunan harga barang,” katanya.

Rakyat pula, menurutnya perlu berterima kasih kepada kerajaan dan penjimatan daripada penurunan harga petrol itu perlu digunakan untuk tujuan lain yang bermanfaat di samping perlu meneruskan amalan berjimat cermat.

Pakar Ekonomi Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Datuk Dr Amir Hussin Baharuddin berkata, harga petrol dijangka menunjukkan trend penurunan sepanjang tahun ini, ekoran harga minyak mentah dijual antara AS$60 dan AS$80 setong. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 January 2015 @ 8:42 AM