KEADAAN pondok yang didiami Mohamed (gambar kecil) yang tinggal sebatang kara di dalam hutan di kawasan Damaisuri Wangsa Melawati.
Oleh Mohd Fadly Samsudin

Kuala Lumpur: Kerap kebuluran dan meminum air hujan untuk terus hidup. Itu dilalui seorang lelaki warga emas berusia 74 tahun yang tinggal di dalam hutan ‘berjiran’ kawasan perumahan mewah di Damaisari Wangsa Melawati di sini.

Lelaki terbabit, Mohamed Dris, 74, hidup dalam keadaan daif bersendirian di sebuah pondok usang sejak lapan tahun lalu.

Lebih menyedihkan apabila pondok itu tiada bekalan elektrik dan air bersih menyebabkan Mohamed tidak mandi serta terpaksa membuang air besar di sekeliling pondoknya.

Dia yang berasal dari Raub, Pahang memberitahu hidup sebatang kara selepas semua ahli keluarganya di kampung sudah meninggal dunia.

“Mujurlah seorang rakan berbangsa Cina kerap menghantar nasi bungkus. Setiap hari dia akan mengayuh basikal lebih dua kilometer ke tempat kerjanya berhampiran Zoo Negara di Hulu Klang.

Katanya, rakannya itu yang dipanggil Ho kadang kala membawa nasi bungkus apabila singgah ke pondoknya itu.

“Bukan setiap hari saya dapat makan, adakalanya saya tidak menjamah sebarang makanan selama dua hari. Air minuman kami adalah air hujan yang dimasak,” katanya.

Menurutnya, dia terpaksa menghuni pondok usang itu berikutan tidak tahu cara untuk meminta bantuan dari pihak berwajib.

“Tiada sesiapa lagi tempat saya untuk mengadu nasib. Sakit dan demam semuanya saya hadapi seorang diri,” katanya.

Penderitaan lelaki warga emas itu turut mendapat perhatian apabila kisahnya dipaparkan melalui laman sosial Facebook rasmi Balai Polis Wangsa Maju di sini.

Difahamkan, sepasukan anggota polis Wangsa Maju masuk ke hutan itu pada malam 25 Disember lalu bagi menyiasat aduan orang awam berhubung kewujudan pondok usang yang dikhuatiri menjadi sarang penagih dadah.

Bagaimanapun, anggota polis terkejut apabila pondok usang itu dihuni warga emas dalam keadaan serba daif selain ketika itu dia berada dalam kelaparan dan kesejukan.

Melihatkan keadaan itu, beberapa anggota membelikannya makanan sebelum memaklumkan keadaan lelaki itu kepada pihak Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Pada 29 Disember lalu, difahamkan beberapa pegawai daripada Baitulmal MAIWP ada membuat lawatan dan berjanji untuk membantu warga emas berkenaan mendapatkan tempat tinggal yang lebih selesa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 January 2015 @ 8:55 AM