SEBAHAGIAN daripada kemusnahan yang berlaku di kawasan Manek Urai selepas banjir besar melanda negeri Kelantan. Gambar kecil, mangsa banjir berebut dapatkan pakaian yang disumbangkan di Kampung Manek Urai.
SEBAHAGIAN daripada kemusnahan yang berlaku di kawasan Manek Urai selepas banjir besar melanda negeri Kelantan. Gambar kecil, mangsa banjir berebut dapatkan pakaian yang disumbangkan di Kampung Manek Urai.

Mendekati Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Manek Urai di Kuala Krai, kelmarin sangat mengusik jiwa saya kerana sebelum itu sudah banyak cerita mengenai penderitaan mangsa banjir di situ tersebar dalam laman sosial.

Cerita mengenai bagaimana payahnya kira-kira 300 mangsa untuk meneruskan kelangsungan hidup ketika air besar mengepung bangunan sekolah itu yang menjadi pusat pemindahan sementara (PPS) mereka.

Makanan dicatu, mereka terpaksa tidur berhimpit dan bergelap dalam kepekatan malam sambil dihidangkan bunyi arus deras yang menggerunkan. Memang tak terbayang penderitaan mereka.

Jika kita yang melaluinya mungkin kita juga tewas dan gagal menahan perasaan seperti mereka. Tiga hari mereka hanya duduk di dalam bilik darjah di tingkat paling atas selepas air naik sehingga tingkat ketiga bangunan itu.

Dengan kemudahan yang sangat terhad dan talian telekomunikasi terganggu, ibaratnya seperti berada dalam satu dunia asing.

Kerana itu juga bagi saya tidak salah mereka melahirkan keluhan meminta bantuan menerusi aplikasi Whatsapp atau mesej yang sempat dihantar kepada sesiapapun.

Mereka takut, mereka juga bimbang tidak akan bertemu lagi orang tersayang selepas tiga hari menempuh pengalaman menggerunkan itu sehingga bantuan sebenar tiba pada 25 Disember.

Sebab itu ketika saya memasuki sekolah dan terlihat pula seorang wanita berusia sedang memilih pakaian, hati saya menjadi pilu.

Dia menggelar dirinya sebagai Rogayah Husin yang berusia 50 tahun. Katanya baju yang dilonggokkan pada satu sudut sekolah itu adalah pakaian baru yang disedekahkan orang ramai.

“Ketika saya masuk ke sini, saya tak bawa apa-apa sebab tak sempat memandangkan air naik mendadak. Kini selepas banjir surut, saya juga tak ada apa-apa kerana rumah saya hilang ditelan banjir besar.

“Saya sehelai sepinggang. Alhamdulillah untuk baju yang orang sedekahkan ini. Ini saja yang saya akan pakai buat masa ini untuk balut badan,” katanya yang ketika itu mengenakan baju-T dan kain batik pemberian orang.

Memasuki ruang dalam sekolah, saya dipertemukan pula dengan Mok Wan berusia 54 tahun yang sangat ramah serta sentiasa tenang dan tersenyum.

Nyata Mok Wan sangat kuat emosinya dalam menghadapi musibah banjir ini kerana rumahnya di Kampung Manek Urai Lama turut hancur dan hanya tinggal tiang saja.

Katanya, ketika meninjau keadaan rumahnya Selasa lalu, dia mengaku terkejut apabila dapati tiada apapun yang tinggal melainkan tiang rumah saja, tetapi reda menghadapi kejadian itu serta menganggapnya ujian Allah.

Lebih membuatkan saya terharu apabila Mok Wan mempelawa saya minum dengannya sedangkan umum mengetahui bantuan makanan di PPS terhad untuk mangsa dan perlu dikongsi beramai-ramai.

Musibah baginya bukan untuk menjadikan dia pentingkan diri sendiri, sebaliknya membantu meringankan beban orang sekeliling dan membuat kebaikan walau dia sendiri perlu dibantu.

Yang saya lihat, bukan Mok Wan saja begitu, bahkan mangsa banjir lain juga yang tidak dapat pulang kerana rumah yang musnah sepenuhnya.

Situasi sama berlaku di Kampung Karangan, di sini, apabila penduduk masih lagi senang melayan tetamu yang bertandang ke kampung mereka yang hampir ranap dan tiada elektrik serta air.

Apabila saya ke PPS di Sekolah Kebangsaan Kampung Karangan, saya dihidangkan air dan roti bantuan sekaligus membuatkan saya segan menjamahnya walaupun perut memang minta diisi disebabkan tiada kedai makan di situ yang buka.

Betapa kuatnya orang Manek Urai dan Karangan menghadapi musibah ini dan diharapkan mereka terus mendapat pembelaan sewajarnya.

Mereka mendidik saya untuk lebih mensyukuri nikmat diberi Tuhan dan reda kerana saya sendiri menjadi mangsa banjir selepas rumah di Taman Tiong, Kota Bharu dinaiki air.

Walau ada perabot dan barang elektrik yang rosak, kesannya sudah pasti tidak sama dengan penduduk di situ, malah seperti Ong Wang Tian, 70, yang masih boleh mengutip sisa rumahnya yang hancur dibadai air banjir.

Ong ketika saya temui sebaik keluar dari SMK Manek Urai sedang memanjat pokok untuk menarik zink rumahnya yang tersangkut di situ selain kayu yang berserakan.

Insaf melihat kegigihannya dan saya berharap mereka akan menjadi inspirasi kepada orang lain juga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 January 2015 @ 9:37 AM