Skip this ad x
Oleh Fazurawati Che Lah

Kuala Lumpur: Hujan berterusan dijangka akan melanda beberapa kawasan persisiran pantai timur Semenanjung Malaysia termasuk Johor bermula esok sehingga Isnin (5 Januari).

Pegawai Meteorologi Kanan, Pusat Cuaca Nasional Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata hujan didapati akan melanda kawasan berkenaan pada sebelah malam dan berterusan pada keesokannya.

“Namun penduduk tidak perlu khuatir kerana ia tidak menyebabkan berlaku episod hujan lebat kerana dikategorikan sebagai hujan biasa.

“Bermula Januari, jumlah hujan akan berkurangan di Semenanjung Malaysia, tetapi di Sabah dan Sarawak akan mulai menerima hujan lebat,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, bagi negeri pantai barat, hujan dijangka berlaku pada waktu petang dan senja yang akan diikuti ribut petir di satu atau dua kawasan di Selangor, Perak dan Negeri Sembilan.

Menerusi laman Jabatan Meteorologi, angin kencang dan laut bergelora kategori kedua di perairan Pahang, Johor Timur, Sarawak, Sabah (Pedalaman, Pantai Barat dan Kudat) dan Wilayah Persekutuan Labuan dijangka berterusan sehingga esok.

Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam (km/jam) dan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan serta perkhidmatan feri.

“Keadaan sama turut dijangka berlaku di perairan Samui, Tioman, Bunguran, Reef South dan Labuan,” menurut kenyataan itu.

Tiupan angin kencang Timur Laut dan laut bergelora tahap kategori pertama akan berterusan sehingga esok di perairan Kelantan dan Terengganu dengan kelajuan angin 40 hingga 50 km/jam serta ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5m.

Sementara itu, angin kencang Timur Laut dan laut bergelora kategori ketiga akan berterusan sehingga esok juga di perairan Condore, Reef North, Layang-layang dan Palawan dengan kelajuan angin melebihi 60 km/jam dengan ketinggian ombak melebihi 4.5m.

“Keadaan itu berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak,” kata Jabatan Meteorologi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 January 2015 @ 5:18 AM