MAK We imbas kembali kejadian banjir 1971.
MAK We imbas kembali kejadian banjir 1971.

Temerloh: “Dulu air naik cepat, turun pun cepat, tapi sekarang ini mak cik tengok banjir di sini airnya tak berubah, turunnya sangat perlahan,” kata warga emas, Ratna Bidariyah Abdul Malik, 70.

Dia yang selesa dipanggil Mak We menyifatkan banjir di Temerloh ketika ini hampir sama seperti bah besar pada 1971 yang menenggelamkan hampir keseluruhan daerah terkenal dengan jolokan Bandar Ikan Patin itu.

Ratna Bidariyah yang tinggal di Paya Pulai, dekat sini, berkata, bah besar kira-kira 43 tahun lalu menyebabkan darurat diisytiharkan di seluruh negara oleh Perdana Menteri ketika itu Tun Abdul Razak Hussein.

Mengimbau tragedi itu, Mak We berkata, rumah bertiang kayu setinggi hampir dua meter yang didiami bersama suami dan anaknya dinaiki air sehingga ke pintu rumah.

Katanya, dia diarahkan oleh ketua kampung ketika itu untuk berpindah ke sebuah kilang kayu terletak kira-kira dua kilometer dari rumahnya.

“Memang ramai yang cakap banjir kali ini lebih teruk daripada 1971, tapi orang yang hidup pada waktu itu lebih tahu situasi sebenar.

“Kami beramai-ramai terpaksa duduk dan tidur di atas kayu di kilang itu dalam keadaan serba kekurangan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini.

Mak We berkata, banjir pada 1971 surut dalam masa seminggu dan situasi kali ini sangat berbeza kerana paras air surut sangat perlahan.

“Banjir kali ini rumah Mak We tidak dinaiki air, tapi rumah jiran dinaiki air dan sekarang ini pun masih tak boleh masuk ke dalam rumah kerana digenangi air yang tak mahu turun cepat,” katanya.

Katanya, dia dimaklumkan bapanya ketika kecil yang daerah itu pernah dilanda bah besar pada 1926, namun banjir pada 1971 adalah yang terbesar dan terburuk dalam sejarah.

Wartawan Metro Ahad dan jurugambar yang berada di daerah ini bagi membuat laporan sejak lapan hari lalu turut menyaksikan bandar yang terkenal dengan masakan ikan patin tempoyak ini tenggelam secara perlahan-lahan.

Hujan lebat sejak minggu lalu selain limpahan air Sungai Pahang di Lubuk Pasu, dekat sini, menjadi antara punca mukim di daerah ini seperti Kerdau, Kuala Krau, Mentakab dan Mengkarak ditenggelami air.

Selain itu, jalan utama yang menghubungkan Temerloh ke Lebuhraya Pantai Timur (LPT), Temerloh-Bera, Temerloh-Maran juga terputus sehingga bantuan bekalan makanan dan kesihatan kepada mangsa banjir lewat tiba.

Lebih menyedihkan, puluhan kampung di pesisiran Sungai Pahang, dekat sini, ditenggelami air sehingga empat meter.

Wartawan menyaksikan keperitan penduduk di kawasan itu yang berkemungkinan tidak mengetahui lokasi sebenar rumah mereka selepas menyusuri Sungai Pahang apabila bumbung rumah sesetengah penduduk langsung tidak kelihatan.

Ketika berada di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Temerloh, dekat sini, penduduk, Bakar Mat Amir, 80, berkata situasi ketika ini boleh digelarkan ‘adik bah 1971’.

Katanya, banjir ketika itu menenggelamkan keseluruhan bandar Temerloh dan hanya tiga binaan yang kelihatan iaitu masjid, istana dan rumah rehat.

Bakar berkata, pada tahun itu, hujan lebat selama seminggu dan penduduk hanya tinggal sehelai sepinggang berikutan air naik terlalu cepat.

“Ketika itu, tiada bantuan seperti sekarang yang dikira mewah jugalah sebab makanan tak putus-putus, ramai orang prihatin, waktu dulu semua orang susah.

“Bah besar 1971 cepat turun sebab tak banyak taman perumahan, sekarang keliling jalan semua taman, tapi tak apa sebab hujan dah berhenti, tak lama lagi surutlah,” katanya yang tinggal di Batu 4, berhampiran Sekolah Kebangsaan Paya Pulai, dekat sini.

Sehingga kini, daerah Temerloh mencatat jumlah mangsa tertinggi di Pahang dengan mangsa masih ‘menginap’ di pusat pemindahan yang semakin padat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 January 2015 @ 6:33 AM