AHLI keluarga mangsa menunggu status terkini nahas di Pusat Krisis Polda Jatim.
AHLI keluarga mangsa menunggu status terkini nahas di Pusat Krisis Polda Jatim.

Surabaya: Pihak AirAsia Indonesia mengesahkan laluan penerbangan pesawatnya dari Surabaya ke Singapura dibekukan sementara sehingga siasatan penuh selesai dilakukan.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Indonesia Sunu Widyatmoko berkata, Kementerian Pengangkutan Indonesia sudah mengeluarkan arahan berhubung pembekuan operasi itu.

Menurutnya, pihaknya kini sedang bekerjasama dengan kementerian bagi membantu proses siasatan itu.

“Saya tidak akan mengeluarkan apa-apa kenyataan buat masa ini kerana ia masih dalam siasatan,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Sebelum ini Kementerian Pengangkutan mengeluarkan arahan membekukan laluan penerbangan Surabaya-Singapura kepada semua pesawat AirAsia berkuatkuasa kelmarin.

Ketua Pusat Komunikasi Awam kementerian berkenaan, J A Batara dalam kenyataan rasminya berkata, tindakan itu dibuat selepas kementerian mendapati nahas pesawat terbabit mempunyai kaitan dengan pelanggaran jadual operasi oleh AirAsia Indonesia.

Siasatan awal menunjukkan pesawat itu tidak dibenarkan melakukan penerbangan dari Surabaya ke Singapura pada hari kejadian dan tidak meminta untuk menukar jadual penerbangan.

“Berdasarkan surat dikeluarkan Pengarah Pengangkutan Udara pada 24 Oktober lalu, AirAsia hanya dibenarkan terbang di laluan Surabaya - Singapura pada Isnin, Selasa, Khamis dan Sabtu.

“Bagaimanapun pada hari Ahad, 28 Disember lalu AirAsia dikesan menawarkan perjalanan Surabaya-Singapura menerusi QZ8501.

“Pesawat itu membawa 155 penumpang bersama tujuh anak kapal sebelum terbabit nahas di sekitar Teluk Karimata, Kalimantan Tengah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 January 2015 @ 6:40 AM