Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Gombak: Seorang pemandu kereta parah ditetak sekumpulan enam samseng ‘geng motosikal’ hanya kerana enggan membayar RM300 sejurus terbabit kemalangan.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi, mangsa yang memadu Perodua MyVi bersama seorang rakannya melanggar motosikal ditunggang suspek berhampiran Selayang Jaya, di sini.

Berikutan kemalangan itu, dua lelaki berusia 20-an yang menunggang motosikal itu meminta ganti rugi daripada mangsa berusia 28 tahun itu.

Sumber polis berkata, tuntutan ganti rugi itu bagaimanapun tidak dipersetujui mangsa.

Menurut sumber, kerana keengganan mangsa dan rakannya membayar wang diminta, mereka dibelasah kedua-dua suspek.

“Insiden pergaduhan itu bagaimanapun diketahui bapa mangsa sejurus dimaklumkan rakan mangsa. Susulan itu dia datang ke lokasi kejadian dengan bersenjatakan parang untuk menyerang balas.

“Sebaik melihat ayah mangsa muncul bersenjatakan parang, kedua-dua suspek segera melarikan diri dan datang kembali bersama empat lagi rakan,” katanya.

Dia berkata, enam suspek terbabit turut bersenjatakan parang sebelum menyerang ketiga-tiga lelaki berkenaan sehingga cedera.

Difahamkan, insiden itu menyebabkan mangsa parah kerana ditendang dan ditumbuk berulang kali oleh kumpulan suspek.

“Beberapa jam selepas insiden pergaduhan itu dilaporkan berlaku, tiga suspek ditahan polis bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 January 2015 @ 6:59 AM