Kuala Kangsar: Rakaman video menunjukkan sebuah lori dipandu secara berbahaya dan enggan berhenti ketika dikejar dan cuba dipintas kenderaan anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mula menjadi viral di media sosial sejak kelmarin.

Rakaman lima minit 45 saat itu dipercayai dirakam dengan sengaja dan dimuat turun ke dalam laman sosial oleh individu tertentu dengan tujuan mempertikaikan tugas anggota penguat kuasa yang mengambil tindakan terhadap pesalah jalan raya sehingga menerima pelbagai komen negatif membabitkan agensi penguatkuasaan itu.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Ismail Ahmad, berkata, rakaman yang turut menunjukkan pemandu lori terbabit membuang pasir di atas jalan itu berlaku di Taiping pada 22 Disember lalu pada jam 3 petang, ketika anggota penguat kuasa cuba menahan kenderaan itu ketika melakukan rondaan bagi mengesan kenderaan membawa lebih muatan.

Menurutnya, walaupun tiada mana-mana anggota penguat kuasa JPJ cedera dalam kejadian itu, pihaknya menjalankan siasatan termasuk mengesan pemandu dan syarikat lori terbabit untuk tindakan lanjut.

“Kita akan ambil tindakan dari segi pelesenan dan cukai jalan. Laporan juga dibuat kepada pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk diambil tindakan mengikut akta mereka seperti dari segi permit lori dan sebagainya.

“Kita juga akan laporkan kepada pihak polis kerana pasukan itu juga boleh mengambil tindakan di atas kesalahan mengancam, mengugut atau mengganggu tugas kakitangan awam,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan keperluan sekolah kepada 60 anak yatim pada Majlis Infaq Pakaian Sekolah Anak Yatim Yayasan Darul Ihsan di Stesen Penguatkuasa (SPK) JPJ Kuala Kangsar, di sini, semalam.

Beliau turut melancarkan aplikasi WhatsApp dan Facebook SPK JPJ Kuala Kangsar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 January 2015 @ 7:16 AM