ANGGOTA Tentera Laut Diraja Malaysia kapal KD Perak menarik mayat mangsa yang ditemui terapung di Selat Karimata.
ANGGOTA Tentera Laut Diraja Malaysia kapal KD Perak menarik mayat mangsa yang ditemui terapung di Selat Karimata.

Jakarta: AirAsia Indonesia akan membayar pampasan US$24,000 (RM85,600) kepada keluarga mangsa pesawat QZ8501 yang terhempas 28 Disember lalu di Laut Jawa.

Memetik laporan The Wall Street Journal, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Indonesia Sunu Widyatmoko berkata, jumlah pampasan kepada setiap keluarga selaras dengan apa yang dikehendaki undang-undang Indonesia dan diminta kerajaan negara itu.

“Berdasarkan peruntukkan yang ada, keluarga mangsa layak menerima jumlah pampasan yang besar.

“Bagaimanapun, buat masa ini kami masih menghormati perasaan keluarga yang enggan membicarakan lagi soal pampasan, tetapi mencari mayat mangsa yang masih hilang,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Eksekutif Industri Non Bank (OJK) Firdaus Djaelani berkata, seramai 25 penumpang yang menjadi mangsa tragedi pesawat itu layak menerima pampasan Rp315 juta hingga Rp750 juta (RM88,000 hingga RM210,000) seorang.

Sementara itu, kerajaan Indonesia mengarahkan syarikat pengendali pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 membayar pampasan kepada keluarga atau waris mangsa dalam tempoh tujuh hari selepas mayat dikenal pasti.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 January 2015 @ 7:18 AM