Mohd Firdaus Ibrahim dan Muhammad Saufi Hassan
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kes seorang bekas komando rakyat Malaysia yang ditahan kerana mahu menyertai kumpulan pengganas militan Negara Islam (IS) di Arab Saudi adalah kes tunggal membabitkan penyalahgunaan visa ibadah umrah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, buat masa ini kerajaan belum bercadang untuk memperketatkan pengeluaran visa umrah termasuk memantau profil latar belakang jemaah yang akan menunaikan ibadat itu.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar semalam berhubung penahanan seorang bekas komando berusia 29 tahun oleh pihak berkuasa Arab Saudi pada 28 Disember lalu selepas disyaki terbabit dengan aktiviti militan IS.

Laporan memetik bekas komando yang dibuang kerja Julai 2013 itu dikesan menyalahgunakan visa umrah diperolehnya untuk menyertai gerakan militan IS tanpa disedari ahli keluarga yang bersamanya ke Makkah.

“Lelaki itu menemani ayahnya mengerjakan umrah, namun dia menghilangkan diri di sana. Ayahnya pulang ke Malaysia bersendirian sebelum membuat laporan orang hilang.

“Bekas komando yang juga pakar membuat bom itu pernah bertugas di Kem Sungai Udang, Melaka. Dia bagaimanapun ditangkap bersama 135 individu lain di markas persembunyian mereka di sempadan Arab Saudi-Jordan kerana dipercayai terbabit dengan militan IS,” katanya.

Beliau berkata, lelaki itu sebenarnya mahu masuk ke negara bergolak Syria untuk menyertai sebilangan besar rakyat Malaysia yang sedang ‘berjihad’ di sana.

Menurutnya, sebarang tindakan berkaitan kes berkenaan perlu diperhalusi kerana ia turut membabitkan tanggapan kerajaan Arab Saudi terhadap jemaah umrah dari negara ini.

“Jangan nanti tindakan yang kita ambil akan menjadi tanggapan negatif kerajaan Arab Saudi terhadap jemaah kita. Selama ini belum ada jemaah kita sama ada umrah atau haji dilaporkan menyertai kumpulan keganasan di Asia Barat.

“Apapun, kepada bakal tetamu Allah SWT di Baitullah saya nasihatkan supaya jangan menjadikan ibadat sebagai jalan keluar untuk menyusup masuk dalam kumpulan pengganas.

“Kita tidak mahu pemeriksaan teliti dilakukan terhadap semua jemaah umrah hingga menyukarkan jemaah.

“Mereka perlu jaga nama baik agama dan negara,” katanya ketika dihubungi Harian Metro semalam.

Katanya, apa yang menjadi kebimbangan ialah jika rakyat negara ini yang menyertai IS di Syria menjadikan selatan Filipina sebagai pangkalan pergerakan di rantau ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 January 2015 @ 6:19 AM