Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, semalam, memerintahkan seorang pegawai polis membela diri atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM40,000 sebagai dorongan untuk membebaskan tiga suspek kes culik, enam tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Azman Husin membuat keputusan itu terhadap Asisten Superintendan Mohd Hameleay Abdul Mutalib, selepas berpuas hati terhadap intipati elemen pertuduhan berjaya dibuktikan terhadap kedua-dua pertuduhan.

Beliau berkata, terdapat keterangan daripada saksi yang jelas menunjukkan bahawa tertuduh ada meminta dan menerima wang, oleh itu tertuduh diperintahkan membela diri.

Tertuduh diwakili peguam M Anthimulan manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Aida Adha.

Pada awal tahun lalu, Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan tertuduh daripada dua pertuduhan itu, bagaimanapun pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

Jaminan RM10,000 yang dikenakan sebelum ini dikekalkan dan kes itu akan dibicarakan semula di Mahkamah Sesyen yang sama sebelum ini.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Hameleay didakwa meminta rasuah RM40,000 daripada Wong Chee Kong, 45, sebagai dorongan kononnya tertuduh boleh berbincang dengan Timbalan Pendakwa Raya untuk melepaskan Chee Kong, Chung Ng Moi dan Chin Kam Onn dengan jaminan berkaitan kes itu.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di dalam lokap Mahkamah Alor Setar di sini antara 8 pagi hingga 10 pagi, 22 Januari 2009.

Dalam pertuduhan kedua, tertuduh didakwa meminta rasuah RM40,000 daripada Ng Moi, 46, sebagai upah kononnya tertuduh meminta Timbalan Pendakwa Raya untuk melepaskan ketiga-tiga tertuduh.

Mohd Hameleay dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bilik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, Jalan Kota di sini pada waktu tengah hari, hari yang sama seperti pertuduhan pertama.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 January 2015 @ 6:35 AM