PASANGAN suami isteri ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Jalan Duta.
Oleh Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen di sini, memerintahkan waran tangkap dikenakan terhadap sepasang suami isteri yang didakwa atas tuduhan memindah dan mengeluarkan wang daripada akaun tiga penumpang serta seorang anak kapal pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 membabitkan wang berjumlah RM85,180, selepas mereka gagal hadir dalam prosiding semalam.

Hakim Norsharidah Awang mengeluarkan perintah itu selepas dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fadhli Mahmud bahawa Nur Shila Kanan dan Basheer Ahmad Maula Sahul Hameed serta penjamin mereka gagal dihubungi.

Selain mengeluarkan waran tangkap, Hakim Norsharidah juga mengeluarkan notis tunjuk sebab terhadap penjamin mereka.

Oleh itu mahkamah menetapkan 4 Februari ini untuk sebutan semula.

Pada 20 Ogos lalu, Nur Shila, 33, dan Basheer Ahmad Maula, 33, masing-masing tidak mengaku bersalah atas semua pertuduhan.

Nur Shila berhadapan dengan 12 pertuduhan manakala Basheer Ahmad pula menghadapi tiga pertuduhan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 January 2015 @ 6:45 AM