Oleh Fardy Bungga

Kuala Lumpur: Permintaan Malaysia untuk mengekstradisi Koperal Sirul Azhar Umar ditolak kerajaan Australia walaupun dia didapati bersalah membunuh wanita warga Mongolia Altantunya Shaariibuu.

Akhbar Australia, The Sydney Morning Herald melaporkan Pejabat Peguam Australia menyifatkan hukuman berkenaan bertentangan dengan undang-undang negara itu.

Selasa lalu, Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman mati terhadap Sirul dan Cif Inspektor Azilah Hadri selepas mereka didapati bersalah membunuh penterjemah Mongolia itu secara kejam pada tahun 2006.

Bagaimanapun Sirul gagal hadir ke mahkamah ketika keputusan diumumkan dan dia didapati berada di Australia.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria sebulat suara memutuskan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2013 lalu yang membebaskan kedua-dua anggota polis terbabit.

Berikutan ketiadaan Sirul Azhar, mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadapnya manakala Azilah dibawa ke penjara.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati ke atas kedua-dua responden selepas mendapati mereka bersalah melakukan pembunuhan itu.

Kedua-dua mereka didakwa membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara jam 10 malam pada 19 Oktober hingga jam 1 pagi pada 20 Oktober 2006.

Sementara itu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan wajah dua bekas anggota polis yang disabitkan dengan kesalahan membunuh model Mongolia itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 January 2015 @ 5:22 AM