KETUA Penolong Pengarah KPDNKK, Abdul Kadir Aljailani Mohamad Shariff (kiri) membuat tinjauan harga di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan.
Oleh Mahaizura Abd Malik

Putrajaya: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengambil inisiatif melancarkan Operasi Antipencatutan (Ops Catut) bagi menangani kegiatan peniaga yang cuba mengaut keuntungan tinggi atas alasan pelaksanaan sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Matlamat utama operasi ini adalah sebagai langkah persediaan dalam mengenal pasti dan mengenakan tindakan kepada golongan peniaga yang mengambil kesempatan menjelang pelaksanaan GST April ini.

Menterinya Datuk Seri Hasan Malek berkata, umum mengetahui pelaksanaan GST memberi kesan pada harga barang dan perkhidmatan secara tidak langsung, situasi itu mengundang persepsi negatif akan berlakunya kenaikan harga tidak terkawal sekiranya ia tidak ditangani secara baik.

“Dalam mengatasi tindakan pencatutan atau pengambilan keuntungan yang tidak munasabah sebelum dan selepas GST dilaksanakan, KPDNKK menguatkuasakan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Akta ini dipinda bagi memantapkan penguatkuasaan dan pindaan akta tersebut telah berkuatkuasa pada 1 September 2014,” katanya pada Majlis Pelancaran Operasi AntiPencatutan di sini, baru-baru ini.

Tambah Hasan, bagi memastikan keberkesanan Ops Catut, KPDNKK mula bergerak secara agresif menerusi unit penguat kuasa dengan mengenal pasti peniaga yang mengambil kesempatan.

Sehubungan itu, kementerian menubuhkan Unit Antipencatutan di Bahagian Penguat Kuasa dan di peringkat negeri, malah kerajaan sudah meluluskan pertambahan 472 perjawatan kepada KPDNKK untuk kelancaran Ops Catut.

“Kami akan memulakan operasi dengan menjalankan pemantauan kepada lebih daripada 1,000 pengeluar serta pengedar barangan,” katanya.

Sebarang aduan dan pertanyaan berhubung isu pengguna boleh menghubungi talian 03-8000 8000 atau 1-800-886-800 atau e-mel kepada [email protected] atau layari www.kpdnkk.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 January 2015 @ 5:24 AM