Oleh Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail
rabiatul@hmetro.com.my


Kuching: Seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang menceroboh landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) Jumaat lalu ditahan reman selama empat hari untuk siasatan.

Suspek lelaki berusia 27 tahun berasal dari Changlun, Kedah dan bertugas di TUDM Kuching dipercayai mengalami kemurungan.

Dia didapati menceroboh landasan dan cuba menahan sebuah pesawat AirAsia AK6462 yang bersedia untuk berlepas ke Sibu, Sarawak, pada jam 7.30 pagi, Jumaat lalu.

Menurut sumber, suspek ditahan polis bantuan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.

Katanya, suspek dalam keadaan keliru dan seakan-akan tidak sedar perbuatannya sebaik ditahan polis.

“Siasatan masih dijalankan dengan mengambil keterangan suspek untuk mengetahui motif perbuatan serta memeriksa tahap kesihatannya,” katanya.

Kelmarin, Harian Metro melaporkan, penerbangan pesawat AirAsia 6462 dari LTAK ke Lapangan Terbang Sibu terpaksa ditangguhkan selama dua jam berikutan tindakan seorang lelaki menceroboh landasan.

Dalam kejadian jam 7.25 pagi itu, kehadiran anggota TUDM itu disedari juruterbang pesawat yang melihat suspek berada di atas landasan dan berjalan ke bawah pesawat.

Juruterbang terpaksa memadamkan enjin pesawat dan menghubungi menara kawalan.

Penerbangan itu terpaksa ditangguhkan selama dua jam atas prosedur keselamatan.

Kejadian itu turut menyebabkan gangguan jadual penerbangan kerana landasan terpaksa ditutup selama 20 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 January 2015 @ 7:56 AM