Oleh Muhammad Saufi Hassan
saufi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Semua pihak dinasihatkan tidak hilang arah dan memberi fokus dalam menghadapi kedudukan ekonomi terkini, sekali gus bersama-sama dengan kerajaan untuk mendepani cabaran berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, penyesuaian jangka pendek yang diambil tidak bererti kerajaan tersasar daripada hala tuju jangka panjang, tetapi ia satu penyesuaian untuk mencapai hala tuju berkenaan.

“Kita sudah tentukan landasan, saya yakin landasan yang benar, cuma dalam perjalanan ini kadang-kadang kita perlu melakukan perubahan sedikit dalam perjalanan kita.

“Seperti mana kita pandu kereta, kalau ada sesuatu yang terjatuh depan kereta, kita elak daripadanya dan buat penyesuaian, tetapi kita mesti sedar bahawa destinasi kita itu jangan hilang,” katanya ketika hadir pada satu program Soal Jawab TV3, di sini, semalam.

Program itu yang disiarkan selama sejam dikendalikan oleh Pengarah Urusan Institut Penyelidikan KHAZANAH (KRiS) Datuk Charon Mokhzani.

Najib berkata, rakyat di negara ini juga perlu bertindak secara berhemah dan membuat keputusan sebagai pengguna bijak dalam aspek penjimatan termasuk kos perbelanjaan harian.

“Kalau kita sebagai pengguna umpamanya, buatlah keputusan sebagai pengguna bijak. Umpamanya, kalau kita boleh jimat belanja, mungkin jimatlah perbelanjaan kita dan kalau boleh, kita beli daripada sumber yang beri nilai yang lebih berpatutan kepada kita.

“Buatlah keputusan sedemikian supaya kita akan dapat menentukan apa juga pendapatan yang ada pada hari ini, ia akan dapat digunakan dengan manfaat yang lebih besar serta semaksimum mungkin,” katanya.

Beliau berkata, ia bertepatan dengan pegangan dan pendirian kesederhanaan (wasatiyyah) yang membawa makna seimbang baik dari sudut dunia mahupun akhirat.

Dalam perkembangan banjir di pantai timur, beliau berkata, kerajaan akan mengambil langkah khusus bagi membantu mangsa banjir sama ada dari aspek wang tunai dan juga pendekatan lain.

“Dari aspek wang tunai, kita sudah umumkan kadarnya, tetapi lebih daripada itu, mereka memerlukan jika rumah sudah musnah sama sekali, kita akan bina rumah baru untuk mereka.

“Di samping itu, pelbagai bantuan disalurkan oleh kerajaan menerusi sektor swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan beberapa saluran lain termasuk individu perseorangan yang menghulurkan bantuan,” katanya.

Sehingga kini, Najib berkata, kos taksiran kerosakan infrastruktur yang membabitkan sekolah, hospital, masjid, balai raya termasuk jalan dan jambatan adalah bernilai RM2.9 bilion.

Mengulas berhubung isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Najib berkata, kerajaan yakin syarikat pelaburan berkenaan akan memberi manfaat besar berdasarkan pegangan aset dimiliki termasuk pemilikan tanah lebih 222 hektar (550 ekar) di tengah Kuala Lumpur.

“Selain itu, 1MDB juga mempunyai aset melebihi RM50 bilion, namun mereka juga mempunyai hutang yang agak besar, tetapi hutang itu kalau kita kira aset berbanding liabiliti, aset melebihi liabiliti, itu kita perlu sedar.

“Kewujudan 1MDB juga bertujuan menambahkan lagi pelaburan strategik negara termasuk juga rakan dari luar negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 January 2015 @ 9:45 AM