MOHD Rawi (dua dari kiri) bersama pelajar SK Islam Alor Setar, semalam.
MOHD Rawi (dua dari kiri) bersama pelajar SK Islam Alor Setar, semalam.

Alor Setar: Kerajaan negeri memandang serius dakwaan laporan media luar serta penyebaran video di Youtube memaparkan ajaran jihad di sebuah pondok di Baling yang cenderung menyebarkan fahaman berunsurkan ekstremis.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan negeri Datuk Mohd Rawi Abd Hamid berkata, beliau mahu Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) menyiasat dakwaan berkenaan supaya kegiatan itu dapat dibanteras.

“Saya meminta JAIK menjalin kerjasama dengan Persatuan Jemaah Pondok-Pondok Kedah yang mengakui ada kecenderungan dan minat dalam kalangan generasi muda di institusi berkenaan untuk ‘berjihad’ sehingga mereka berisiko terjerumus dalam pergerakan militan.

“Kadang-kala mereka ini tengok dan belajar dari mana-mana ustaz di media sosial atau Youtube dan boleh terpengaruh dengan fahaman ekstremis kerana berasakan diri sudah cukup alim.

“Saya sudah mengarahkan JAIK menyiasat dakwaan laporan media luar negara serta penyebaran video di Youtube yang kononnya memaparkan ajaran jihad di sebuah pondok di Baling,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan berjumlah RM360,000 kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) di Kedah di Sekolah Rendah Islam Alor Setar, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan persatuan berkenaan yang pernah didatangi warga pondok khususnya generasi muda yang rata-ratanya berusia 20-an, menyuarakan hasrat menyertai pergerakan jihad khususnya di Syria.

Sementara itu, Mohd Rawi berkata, pihaknya menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) memperketat proses saringan penceramah asing, terutama dari negara yang mempunyai kaitan dengan pergerakan ekstremis atau militan, lebih-lebih yang cenderung dengan pergerakan militan Negara Islam (IS).

Beliau berkata, saringan penceramah dari negara luar yang dijemput sama ada secara terbuka atau tertutup, turut disaran dilakukan semua institusi pendidikan termasuk institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta.

“Saya yakin KDN mempunyai senarai penceramah atau ustaz yang cenderung kepada ekstremis sebelum mereka menyebarkannya di negara ini.

“Ia bagi mengelak mereka menyampaikan ajaran berunsurkan ekstremis kepada golongan muda yang belum matang dan mudah terpengaruh jika ditawarkan dengan ganjaran syurga tanpa perlu bersusah-payah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 January 2015 @ 9:00 AM
Digital NSTP Subscribe