Oleh Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan pihaknya menjadi punca kemalangan maut menyebabkan empat kematian membabitkan tiga kenderaan di Jalan Serkam Pantai, Kampung Bukit Gereja, Umbai, Jasin, kelmarin seperti dilaporkan sebuah stesen televisyen semalam.

JPJ dalam kenyataannya berkata, pihaknya mengambil serius laporan berita tidak sahih itu.

“Dalam laporan itu menyatakan kemalangan yang berlaku pada 23 Januari 2015 jam 4.15 petang itu disebabkan kereta Proton Perdana dari arah Merlimau yang diburu Pasukan JPJ sehingga memasuki laluan bertentangan sebelum berlanggar kereta Perodua Kancil menyebabkan empat maut di tempat kejadian.

“Ibu Pejabat JPJ menerima laporan penuh daripada JPJ negeri Melaka berhubung apa yang berlaku. Sebenarnya empat anggota JPJ menjalankan rondaan di kawasan berkenaan sebelum terserempak dengan satu kemalangan dan memberi bantuan sewajarnya sementara menunggu polis tiba ke tempat kejadian,” kata kenyataan itu.

Ibu Pejabat JPJ turut mengesahkan laporan polis dibuat anggota yang berada di tempat kejadian bagi menjelaskan situasi sebenar dan menafikan laporan berita dikeluarkan akhbar berkenaan.

Menurut kenyataan itu, JPJ kecewa dengan laporan berita yang ditulis tanpa membuat rujukan sahih pada pihak jabatan terbabit dan siasatan juga dijalankan pihaknya.

Sementara itu, polis membuka kertas siasatan berhubung dakwaan saksi awam yang mengatakan pasukan JPJ memburu kereta Proton Perdana sebelum kemalangan maut berkenaan berlaku.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya menerima laporan polis dibuat JPJ menafikan laporan sebuah akhbar yang mendakwa pasukan itu mengejar kenderaan yang terbabit kemalangan.

“Kami menerima laporan dibuat anggota JPJ terbabit mengatakan sepasukan empat anggotanya melakukan rondaan harian menggunakan kenderaan Toyota Fortuner melalui kawasan Jalan Melaka-Muar melihat satu kemalangan jalan raya membabitkan tiga kenderaan lalu berhenti dan memberi bantuan kepada mangsa,” katanya.

“Malah dalam laporan itu juga mendakwa pasukan JPJ itu tidak pernah terbabit dalam mengejar salah sebuah kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 January 2015 @ 9:03 AM