ANGGOTA bomba memberi nasihat kepada Mohd Hafiz (tiga dari kiri) dan Mohd Syaifuldin (empat dari kiri).

Kuala Pilah: Hampir lima jam sesat dalam hutan, dua sahabat yang pergi memancing di Sungai Tampin, berhampiran Bukit Kampung Tangai, Air Mawang, Johol, di sini, berjaya ditemui bomba dan penyelamat dalam keadaan selamat, kelmarin.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah Ahmad Mohamad Akhir berkata, mangsa, Mohd Syaifuldin Mohd Jalal, 23, dan rakan, Mohd Hafiz Zaharuddin, 23, ditemui jam 9.43 malam selepas hilang jam 5 petang.

Katanya, kedua-dua mangsa sebelum itu keluar memancing di Sungai Tampin yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumah jam 9 pagi sebelum tiba di puncak bukit jam 10 pagi.

Katanya, jam 5 petang, kedua-dua mereka dilaporkan sesat dan tidak menemui jalan pulang menyebabkan Mohd Syaifuldin menghubungi neneknya memaklumkan kejadian.

“Kami menerima panggilan kecemasan jam 6.30 petang melancarkan gerakan mencari. Seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah dan Tampin berserta dua jentera bergegas ke lokasi jam 7.01 malam dan tiba jam 7.27 malam,” katanya.

Menurutnya, semua anggota mendaki bukit sejauh enam kilometer dan pergerakan mencari terbatas berikutan cuaca gelap dan laluan berbukit.

“Lebih dua jam mencari, kami mendapat petunjuk apabila menemui nyalaan api di tepi Sungai Tampin. Berikutan itu, kami bergegas ke kawasan itu dan menemui kedua-dua mangsa dalam keadaan selamat,” katanya.

Menurutnya, dua sahabat berkenaan dibawa turun jam 11 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 January 2015 @ 7:03 AM