Skip this ad x
Oleh Asmah Rusman

Kajang: Satu sindiket pengedaran dadah didalangi warga Pakistan tumpas dalam operasi khas dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di Bandar Teknologi Semenyih, dekat sini, kelmarin.

Serbuan jam 1.30 tengah hari dilakukan bersama Pasukan Taktikal Khas Perisikan Narkotik Bukit Aman (STING) di sebuah premis yang dijadikan stor simpanan dadah sindiket berkenaan.

Menurut sumber, bekalan dadah yang ditemui sebanyak 55 kilogram di dalam premis itu dipercayai diseludup masuk dari Pakistan dan baru saja tiba dari negara terbabit menggunakan sebuah kontena.

“Hasil pemeriksaan menemui bekalan dadah itu tersorok di dalam kabinet perabot yang diletakkan di dalam stor terbabit.

“Kita percaya mereka adalah sindiket terbesar yang bergiat aktif memasarkan dadah jenis heroin kerana penelitian yang dibuat mendapati dadah itu adalah jenis yang berkualiti tinggi,” katanya.

Menurutnya, selain dadah itu, polis turut menahan 13 individu termasuk warga Pakistan yang disyaki dalang sindiket berkenaan.

Kejadian itu juga disahkan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam laman Twitternya, semalam.

“Syabas STING tengah hari tadi (semalam) tangkap 13 orang termasuk rakyat Pakistan dan rampas 55 kilogram heroin di Semenyih, Selangor,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 January 2015 @ 7:16 AM