MUSTAFA (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada wakil pejabat Pengarah Kampus USM.

Kota Bharu: Universiti Sains Malaysia (USM) mengadakan Persidangan Pengurusan Bencana Banjir Kelantan bagi membincangkan cadangan dan pengurusan bencana sebagai persiapan menghadapi bencana banjir di masa hadapan.

Naib Canselornya Profesor Datuk Omar Osman berkata, persidangan yang akan diadakan pada 14 hingga 16 Februari ini dijangka disertai 400 peserta terdiri daripada agensi berkaitan bencana, pusat penyelidikan dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Katanya, persidangan itu mendapat kerjasama daripada Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (SUK) dan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP)

“Ia bakal dipengerusikan 25 ahli panel yang terdiri daripada mereka yang pakar dalam bidang ekonomi, sosial, persekitaran, infrastruktur dan urus tadbir bencana.

“Kami memfokuskan kepada empat perkara iaitu bagaimana mengurangkan potensi bencana, kesediaan menghadapi bencana, langkah pemulihan dan program jangka masa panjang untuk mendidik kesedaran masyarakat agar bersedia menghadapi bencana,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perutusan Naib Canselor 2015 di Dewan Utama Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian, di sini semalam.

Majlis turut dihadiri Pro Canselor USM Tan Sri Mustafa Mansur dan Pengarah Kampus Kesihatan USM Profesor Datuk Mafauzy Mohamed.

Omar berkata, persidangan terbabit dapat menjadi platform berkongsi pandangan bagi mencari kaedah terbaik mengurangkan impak banjir.

“Hasil persidangan ini, kami harap akan dapat memperoleh cadangan bagaimana menguruskan bencana banjir, panduan pengurangan potensi bencana dan cara mengintergrasi sistem maklumat menghadapi bencana ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 January 2015 @ 7:25 AM