Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Keputusan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk menggubal akta baru menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 menimbulkan reaksi negatif di kalangan beberapa pihak yang berpendapat kajian khusus perlu dilakukan sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat, Jun depan.

Kelmarin, Menteri KPWKM Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, merotan anak bakal menjadi satu kesalahan jenayah mengikut rang undang-undang baru dan kini dalam peringkat akhir untuk diperhalusi oleh Jabatan Peguam Negara, selain negara menandatangani perjanjian Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC).

Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat meminta kementerian itu membatalkan cadangan berkenaan berikutan ia jelas mengundang implikasi buruk dalam institusi kekeluargaan.

“Mengambil iktibar kes pasangan suami isteri yang dipenjara di Sweden, Azizul Raheem Awalludin,38, dan Shalwati Norshal, 46, sudah jelas dan akta baru itu tidak boleh dilakukan di negara ini berikutan budaya dan agama Islam sendiri membenarkan hukuman merotan bertujuan mendidik.

“Dalam pada itu, anak-anak dipisahkan dengan ibu bapa sehingga berusia 18 tahun dan mewujud manipulasi serta ‘industri anak angkat’ yang memberi pulangan lumayan yang membayar 10,000 Swedish Kronas (RM4,300) kepada ibu bapa angkat,” katanya dalam satu kenyataan melalui Facebooknya, semalam.

Khairul Anwar berkata, sebagai peguam pemerhati dalam kes pasangan suami isteri itu, beliau mendapati larangan merotan anak seperti terkandung dalam CRC ditentang hebat pengamal undang-undang, bekas hakim, aktivis masyarakat dan ibu bapa di Sweden, selain dikecam pihak yang rasional dari Nordic Committee for Human Rights, World Peace Foundation (Sweden) serta The Stockholm Institute of Public and International Law.

“Jika pihak mereka tidak sependapat berkenaan perkara ini, mengapa pula Malaysia mahu mencontohi undang-undang yang jelas bertentangan dengan amalan agama majoriti rakyat negara ini iaitu merotan anak bagi tujuan mendidik dan mendisiplin.

“Harus diingat bahawa merotan bagi tujuan mendidik adalah ‘berbeza’ dengan perbuatan mendera seperti yang ditafsir dalam CRC.

“Hasil kajian kami di Sweden juga mendapati sejak undang-undang itu diperkenalkan pada 1979, lebih 300,000 kanak-kanak dipisahkan dengan ibu bapa kandung mereka dan terpaksa hidup dengan keluarga angkat sehingga berusia 18 tahun,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, jika akta baru itu digubal ia tidak selaras dengan budaya dan ajaran Islam yang membenarkan perlakuan itu dengan tujuan mendidik dan mendisiplinkan anak.

“Walaupun Malaysia menandatangani perjanjian CRC, tetapi kita tidak perlu terikat dengan perjanjian itu memandangkan Islam sendiri membenarkan pendidikan melalu rotan terhadap kanak-kanak,” katanya.

Bagi Presiden Lembaga Kaunselor Profesional Malaysia Prof Madya Dr Fadzil Che Din menganggap perbuatan menghukum ibu bapa yang merotan anak mendatangkan kekeliruan cara mendidik anak masing-masing sekiranya undang-undang baru itu tidak diperincikan garis panduannya.

“Majoriti masyarakat negara ini beragama Islam dan kebanyakan mereka mendidik anak berpaksikan dua panduan iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Ini boleh menyebabkan kekeliruan teruk kepada ibu bapa jika tujuan untuk mendidik anak dengan cara merotan disalah tafsir,” katanya.

Menurutnya, secara psikologi, ibu bapa disaran menggantung rotan di rumah dengan tujuan mewujudkan perasaan gerun kepada anak untuk melakukan kesalahan.

“Akta baru ini tiada masalah cuma pelaksanaan serta garis panduan perlu diterangkan terutama maksud merotan anak supaya timbul perasaan gerun untuk melakukan kesalahan.

“Rotan adalah alat membentuk tingkah laku dan bukan sehingga mencederakan. Cukup sekadar memberi sedikit kesakitan supaya kesalahan tidak diulang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 January 2015 @ 7:36 AM