Oleh Siti Fatimah Hassan


Kuala Lumpur: Perkhidmatan kaunter penerimaan pembaharuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) Jabatan Imigresen secara manual seharusnya diteruskan bagi memberi pilihan kepada majikan dan syarikat sama ada untuk memilih perkhidmatan kaunter atau sistem atas talian menerusi MyEG.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Noorul Hassan Saul Hameed berkata, ia supaya majikan atau syarikat terbabit tidak berasa seolah-olah dipaksa untuk menggunakan sistem atas talian, sekali gus membebankan mereka yang tidak begitu mahir menggunakan komputer.

Katanya, biarpun tujuan penggunaan sistem atas talian adalah untuk menghapuskan orang tengah, namun ia akan tetap berlaku apabila mungkin ada pihak sama cuba mengambil kesempatan terhadap mereka yang tidak mahir menggunakan Internet.

“Saya tidak kata sistem ini tidak baik tetapi dialu-alukan, namun pada masa sama kita perlu beri pilihan kepada rakyat. Kalau boleh pergi kaunter, biar dia pergi kaunter dan bagi mereka yang tidak mahu beratur panjang, mereka boleh menggunakan sistem atas talian,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam.

Jabatan Imigresen membuka semula kaunter penerimaan pembaharuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) berkuat kuasa serta-merta, semalam sehingga 28 Februari depan selepas ditutup pada 5 Januari lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mustafa Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya menerima rungutan daripada majikan dan syarikat yang mendakwa sukar menyesuaikan diri dengan proses pembaharuan PLKS secara atas talian.

Selain itu, Noorul Hassan berkata, majikan dan syarikat terbabit perlu diberi tempoh tertentu untuk membiasakan diri dengan menggunakan sistem atas talian.

Katanya, dalam tempoh jangka masa panjang, sistem atas talian amat diperlukan khususnya bagi membolehkan negara mencapai tahap negara maju.

“Apa yang berlaku, belum sempat mereka membiasakan dengan sistem ini secara tiba-tiba seperti berlaku kejutan untuk menggunakannya.

“Ini soal mereka yang tidak bersedia walaupun sistem ini bagus dan memudahkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 January 2015 @ 7:39 AM