Oleh Hayati Ibrahim

Putrajaya: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mencatatkan kutipan hasil tertinggi dalam sejarah jabatan itu apabila berjaya memungut hasil berjumlah RM35.2 bilion tahun lalu, kata Ketua Pengarah Datuk Seri Khazali Ahmad.

Beliau berkata, jumlah kutipan itu meningkat enam peratus atau RM2.07 bilion berbanding 2013 yang merekodkan pungutan sebanyak RM33 bilion.

“Jumlah menunjukkan kita mencapai 98 peratus daripada jumlah sasaran ditetapkan iaitu RM36 bilion, dan ini adalah kejayaan kita mengekalkan trend pungutan hasil yang meningkat untuk lima tahun berturut-turut,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-33 di sini, semalam.

Majlis dirasmikan Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah. Turut hadir, timbalannya Datuk Ahmad Maslan dan Datuk Chua Tee Yong.

Pada majlis itu, Ahmad Husni turut melancarkan Pelan Strategik JKDM 2015-2019 yang menjadi dokumen perancangan yang menetapkan hala tuju dan tindakan baru yang akan dilaksanakan jabatan itu bagi tempoh lima tahun akan datang.

Beliau turut menyampaikan Anugerah Negeri Berprestasi Tinggi kepada JKDM Kelantan pada majlis yang bertemakan Penyelarasan Pengurusan Sempadan: Pendekatan Inklusif Bagi Menghubungkan Pihak Berkepentingan itu.

Khazali berkata, dari segi rampasan pula, sebanyak 5,944 kes rampasan bernilai RM726 juta dicatatkan pada tahun lalu, yang membabitkan cukai sebanyak RM437 juta.

“Bilangan kes rampasan sudah berkurangan sebanyak 16 peratus berbanding tahun sebelumnya susulan peningkatan kecekapan JKDM dalam aspek penguatkuasaan dan pematuhan,” katanya.

Mengenai pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), beliau berkata, sebanyak 306,887 syarikat sudah berdaftar sehingga 21 Januari lalu dan angka itu melebihi sasaran 300,000 syarikat yang disasarkan sebelum ini.

“Sepanjang tahun lalu, JKDM sudah mengadakan kira-kira 1,300 program kesedaran di seluruh negara membabitkan 300,000 peserta.

“Sebanyak 1,400 sesi penerangan dan latihan mengenai GST turut diadakan membabitkan 290,000 peserta dari agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan perniagaan turut diadakan,” katanya.

Selain itu, Khazali berkata, kawalan sempadan perlu diselaraskan secara inklusif bagi mengurangkan pertindihan tugas, menjimatkan kos melalui ekonomi bidangan, meningkatkan kecekapan pengurusan risiko, mengurangkan kos pengangkutan dan meningkatkan kecekapan dalam penyampaian perkhidmatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 January 2015 @ 8:42 AM