PETUGAS TNB memulihkan semula bekalan elektrik di salah sebuah rumah yang rosak akibat banjir di Kampung Manjur, Gua Musang.
PETUGAS TNB memulihkan semula bekalan elektrik di salah sebuah rumah yang rosak akibat banjir di Kampung Manjur, Gua Musang.
MD Yuslan (dua dari kanan) melihat salah satu pencawang yang roboh akibat banjir di Kelantan, baru-baru ini.
MD Yuslan (dua dari kanan) melihat salah satu pencawang yang roboh akibat banjir di Kelantan, baru-baru ini.

Kuala Krai: Seratus peratus bekalan tenaga elektrik di Kelantan dapat dipulihkan apabila petugas Tenaga Nasional Berhad (TNB) bekerja 24 jam tanpa henti untuk membaik pulih gangguan bekalan elektrik selepas negeri itu ditimpa musibah banjir, bulan lalu.

Kerja baik pulih itu selesai sepenuhnya pada jam 2 petang Khamis, 22 Januari lalu.

Sebaik banjir surut, petugas TNB dikerah ke lokasi dan kawasan sekitar pencawang elektrik untuk memeriksa kerosakan.

Semua 1,960 pencawang elektrik yang ditenggelami air berjaya dibaiki dan beroperasi seperti sedia kala.

Pengurus Besar Negeri (Kelantan) Bahagian Pembahagian TNB, Md Yuslan Md Yusof berkata, sepanjang baik pulih berlangsung TNB menghantar sebanyak 29 alat penjana kuasa (generator) mudah alih ke kawasan terjejas itu.

Beliau berkata, sebelum itu, banyak tempat yang terputus hubungan dengan jalan darat seperti jalan runtuh di Jelawang ke Gua Musang berdekatan Bukit Lanjut dan jambatan utama yang menghubungkan Jeli ke Gua Musang di Kampung Pulau Setelu pula roboh.

“Ketika alat penjana kuasa (generator) sokongan digunakan untuk menjana elektrik, satu demi satu pencawang dapat diperbaiki dan juruteknik TNB bekerja tanpa mengenal penat lelah demi memastikan bekalan elektrik dapat dipulihkan secepat mungkin.

“Namun, Stesen Suis Utama (SSU) di pencawang Jelawang akan memakan masa lama untuk dibaik pulih. Bagaimanapun, kesulitan itu tidak membabitkan bekalan kepada pengguna, tetapi ia mengganggu kestabilan sistem saja,” katanya.

Katanya, ketika banjir, sebanyak 3,500 batang tiang elektrik yang rosak teruk seperti patah dan tumbang perlu diganti serta dibaik pulih semula.

“Daripada jumlah itu, jika konduktor elektrik direntangkan, jaraknya mencecah hampir 140 kilometer. Itu adalah jarak voltan muatan rendah yang kami terpaksa baik pulih semula selepas banjir,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, TNB bernasib baik apabila Pencawang Masuk Utama (PMU) di Tanah Merah tidak mengalami kerosakan yang teruk selepas ditenggelami air sedalam 0.5 meter pada 24 Disember lalu.

“Pada 4 Januari lalu, PMU itu kembali beroperasi selepas mengambil masa satu hari untuk dibaik pulih. Jika PMU ini rosak teruk, ia mengambil masa lama untuk dibaiki dan daerah di sekitar Jeli, Kuala Krai, Gua Musang, Rantau Panjang dan sebahagian daripada Machang akan bergelap,” katanya.

Beliau berkata, fokus utama pihaknya adalah untuk memastikan bekalan elektrik di kawasan terjejas banjir pulih 100 peratus dan dapat dibekalkan ke seluruh Kelantan dengan selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 January 2015 @ 8:44 AM