PEGAWAI KPDNKK mengambil keterangan peniaga.
Oleh Norzamira Che Noh

Klang: Sejumlah 300 peket tembakau (chewing tobacco) jenama tiruan dirampas dalam operasi yang dijalankan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor di sekitar bandar Klang, semalam.

Penolong Penguat kuasa KPDNKK Shah Alam Ariffin Awang berkata, operasi itu bertujuan membanteras penjualan barang tiruan yang menggunakan cap dagangan palsu.

“Empat premis perniagaan diserbu dengan nilai rampasan lebih RM10,000.

“KPDNKK menerima aduan pada 23 Januari lalu dan pemantauan dijalankan selama seminggu sebelum operasi ini dilakukan,” katanya di sini semalam.

Operasi yang dijalankan jam 11.30 pagi itu disertai 12 pegawai penguat kuasa KPDNKK cawangan Shah Alam.

Tembakau jenama tiruan yang dirampas itu dipercayai diproses di India manakala pengeluar sah bagi jenama itu di Nepal.

“Premis perniagaan ini tidak disita kerana ada lesen perniagaan yang sah, tetapi kami hanya merampas tembakau berkenaan untuk siasatan lanjut.

“Perbuatan menjual barang tiruan satu kesalahan mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 kerana membekal atau menawarkan untuk membekal apa-apa barang yang menggunakan perihal dagangan palsu,” katanya.

Katanya, sabit kesalahan pihak terbabit boleh didenda sehingga RM10,000 bagi setiap satu barangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 January 2015 @ 6:52 AM