ANTARA pelacur yang ditahan dalam serbuan STAGG.
Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuala Lumpur: Pelanggan lelaki yang sanggup membeli mahkota bernilai RM10,000 bakal memperoleh pelacur import paling jelita.

Itu antara tarikan sebuah pusat hiburan di Jalan Kuchai Lama di sini, yang dikesan menyediakan khidmat pelayan pelanggan (GRO) termasuk lima pondan yang diimport khas dari Thailand bagi menarik kehadiran pelanggan ke premis itu.

Rata-rata pelanggan yang mahu mendapatkan khidmat seks GRO di premis itu diwajibkan membeli mahkota, kain selempang atau jubah pada harga antara RM50 hingga RM10,000 setiap satu.

Barangan dibeli itu kemudian akan disarungkan pada GRO itu oleh pelanggan sebagai simbolik wanita terbabit sudah ditempah khas.

Kegiatan maksiat itu bagaimanapun berjaya ditumpaskan selepas sepasukan anggota daripada Pasukan Khas Dalam Jenayah Terancang, Skuad Taktikal 3 Perjudian/ Maksiat/ Kongsi Gelap (STAGG) menyerbu premis itu pada jam 1 pagi semalam.

Hasil operasi itu, seramai 53 GRO termasuk lima pondan warga Thailand berjaya ditahan polis.

Ketua Penolong Pengarah STAGG Senior Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, semua GRO yang ditahan berusia 20 hingga 30 tahun itu didapati bekerja tanpa permit yang sah dan menyalahgunakan pas lawatan sosial mereka.

“Dalam serbuan itu, polis turut menahan pemilik dan pengurus premis masing-masing berusia 52 dan 46 tahun,” katanya, semalam.

Menurutnya, polis turut merampas 68 kain selempang pelbagai nilai yang setiap satunya bermula dari harga serendah RM50 hingga RM10,000.

“Polis turut merampas 12 cekak rambut berbentuk mahkota berwarna perak, tujuh jubah pelbagai warna, wang tunai RM500, 15 keping kad kredit dan empat kertas A4 yang tertulis nama pekerja,” katanya.

Beliau berkata, tiga pekerja premis ditahan bagi membantu siasatan manakala 40 pelanggan turut diperiksa dalam serbuan itu.

Khairi berkata, semua tangkapan dan rampasan di bawa ke Balai Polis Petaling di sini, untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 January 2015 @ 6:54 AM