Oleh Sitie Nurhajatulziemah Mohd Nor

Tampin: Bermodalkan motosikal dan topi keledar bercermin gelap, sepasang suami isteri aktif melakukan samun dan ragut di negeri ini sejak tujuh tahun lalu.

Begitupun kelicikan lelaki berusia 32 tahun dan isterinya, 26 tahun, masing-masing dari Johor dan Melaka yang terbabit dengan jenayah itu sejak 2008 berakhir apabila mereka ditahan pada 22 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Tampin Superintendan Wooi Kooi Cheang berkata, pasangan berkenaan ditangkap di rumah mereka di Taman Bukit Nangka, Alor Gajah, Melaka.

Beliau berkata, gerakan memburu suspek dilakukan hasil pemantauan dan intipan pihaknya selepas menerima maklumat awam.

“Pasangan yang mempunyai anak lelaki berusia tiga tahun itu menggunakan taktik menaiki motosikal dan memakai topi keledar bercermin hitam ketika meragut beg tangan mangsa dari belakang.

“Dalam kejadian terbaru pada 10 Januari lalu jam 10.50 pagi, suspek meragut beg tangan seorang wanita di Lorong Wisma Kantong, dekat sini, berisi dokumen penting, telefon bimbit serta wang tunai, mengakibatkan kerugian RM175.

“Kejadian kedua pada 16 Januari lalu jam 5.25 petang, suspek meragut beg tangan seorang lagi wanita yang mengandungi dokumen penting, telefon bimbit dan wang tunai di Jalan Cantik menyebabkan kerugian RM500,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan IPD Tampin, petang semalam.

Wooi berkata, ujian saringan air kencing terhadap pasangan terbabit mendapati mereka positif dadah methamphetamine.

Katanya, hasil siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek disyaki terbabit dalam beberapa kes samun di Tanjung Minyak, Melaka pada November 2008, Kulai, Johor pada November 2014 dan Batu Berendam, Melaka pada November 2014 dan Januari 2015.

“Selain itu, suspek lelaki turut memiliki rekod jenayah lampau kes curi di Plentong, Johor pada 2005,” katanya.

Beliau berkata, hasil serbuan pihak polis di rumah berkenaan menemui barang yang disamun iaitu dua motosikal jenis Demak, 10 telefon bimbit, lima ‘power bank’, 10 ‘pendrive’, tujuh jam tangan pelbagai jenama, 11 cincin emas, 11 rantai emas, lapan beg tangan wanita dan sepasang sarung tangan warna hitam.

“Semua nilai barang itu dianggar RM20,000. Saya meminta mangsa yang pernah terbabit dalam kejadian ragut dan samun di sekitar Tampin dan Melaka tampil ke IPD Tampin bagi mengecam barang kes untuk siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/382 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua suspek direman dari tarikh ditangkap hingga esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 January 2015 @ 6:55 AM