BEBERAPA wakil NGO memperjuangkan hak ‘transgender’ hadir di mahkamah bagi mengikuti permohonan Kerajaan Negeri Sembilan.
Oleh Murni Wan Omar

Putrajaya: Mahkamah Persekutuan, di sini, semalam, membenarkan permohonan Kerajaan Negeri Sembilan dan lima lagi untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan berhubung isu lelaki transgender Islam yang dibenarkan berpakaian seperti wanita.

Panel lima hakim dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif dalam keputusan sebulat suara membenarkan permohonan kerajaan negeri, Jabatan Hal Ehwal Islam negeri dan pengarahnya, Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama serta Ketua Pendakwa Syarie negeri untuk merayu.

Mahkamah membenarkan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) menjadi pencelah.

Mahkamah menolak permohonan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Selangor, Majlis Agama Islam Pulau Pinang dan Majlis Agama Islam Johor dinamakan sebagai pencelah.

Sementara itu, UMNO melalui sekretariat perundangannya dibenarkan menjadi pemerhati dalam prosiding itu bersama Pusat Perlembagaan dan Hak Asasi dan Artikel 19 Malaysia (MCCHR) dan Pemerhati Hak Asasi Manusia.

Majlis Peguam dibenarkan bertindak sebagai amicus curiae (sahabat mahkamah).

Di dalam prosiding semalam juga, Md Raus memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan bagi menjawab persoalan sama ada Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Undang-Undang Negeri Sembilan 1992 itu bertentangan dengan lima peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Lima peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan itu adalah Artikel 5(1) berhubung kebebasan, 8(1) dan (2) kesamarataan di sisi undang-undang dan 10 (1)(a) Perlembagaan Persekutuan membabitkan kebebasan bersuara.

Panel lain yang bersidang adalah Tan Sri Richard Malanjum, Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan Datuk Zaharah Ibrahim.

Dalam permohonan semakan kehakiman sebelum ini, pemohon mendakwa Seksyen 66 tidak terpakai terhadap mereka yang menghidap masalah identiti gender GID selepas disahkan Hospital Kuala Lumpur.

Semua responden diwakili peguam Ashton Paiva manakala kerajaan negeri diwakili Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sementara Datuk Sulaiman Abdullah bertindak bagi MAINS.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 January 2015 @ 7:40 AM