LIMA wanita yang diselamatkan polis di sebuah rumah inap desa.
Oleh Mohamad Hussin
mohamad@hmetro.com.my

Alor Setar: Tindakan pantas seorang daripada lima wanita warga asing yang menghubungi pejabat Kedutaan Thailand di Kuala Lumpur, menyelamatkan mereka daripada dijadikan pelacur dalam serbuan Ops Noda/Cantas di sebuah inap desa di Taman Saga Indah, Jalan Alor Mengkudu, di sini, kelmarin.

Dalam serbuan jam 6.30 petang, sepasukan anggota dan pegawai Unit Anti Pemerdagangan Orang (ATIP) Bukit Aman dan Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, menyerbu premis berkenaan sejurus mendapat maklumat itu.

Difahamkan, wanita terbabit menghubungi pejabat kedutaan Thailand yang memaklumkan dirinya ditahan dan dipaksa melacur oleh sindiket pelacuran di bandar raya ini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah Superintendan Nor Omar Sappi berkata, kelima-lima wanita membabitkan dua warga Thailand dan tiga warga Vietnam berusia lingkungan 20 hingga 30-an itu, dipercayai dikurung majikan mereka bagi tujuan pelacuran.

“Selepas mendapat maklumat itu, pejabat kedutaan menghubungi Bukit Aman bagi memaklumkan kejadian itu sebelum sepasukan anggota dan pegawai ATIP Bukit Aman serta D7 IPD Kota Setar menyerbu inap desa berkenaan.

“Dalam serbuan itu, kita menyelamatkan lima wanita warga Thailand dan Vietnam yang dikurung sindiket berkenaan dipercayai untuk dijadikan pelacur di bandar raya ini.

“Kita turut menahan lima suspek termasuk seorang ‘mak ayam’ berusia 23 tahun dan bapa ayam’ berusia 40-an serta tiga pelanggan lelaki berusia antara 19 hingga 40-an yang berada dalam inap desa berkenaan,” katanya.

Nor Omar berkata, pihaknya turut merampas lapan telefon bimbit, tiga beg pakaian, satu buku disyaki catitan aktiviti pelacuran, wang tunai RM2,162, lima peket kondom, satu iPad serta dua rangkai kunci rumah berkenaan.

“Mak ayam dan bapa ayam itu ditahan mengikut Seksyen 12 ATIP 2007 dan direman selama tujuh hari hingga 3 Februari ini, manakala kelima-lima wanita terbabit diselamatkan mengikut Seksyen 44 ATIP 2007,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, dalam Ops Cantas Khas Utara, seramai 11 wanita berusia antara 20 hingga 30-an yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) ditahan di tiga premis pusat hiburan di bandar raya ini, malam kelmarin.

“Dalam operasi bermula jam 1.30 pagi, sepasukan anggota dan pegawai D7 IPK Kedah dan IPD Kota Setar menyerbu premis berkenaan yang menjalankan perniagaan pusat hiburan terutama bagi membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah serta tanpa lesen.

“Kita turut menahan 48 pekerja dan pelanggan di tiga premis berkenaan dan mereka dibawa ke IPD Kota Setar untuk diambil keterangan. Antara barangan yang dirampas ialah pembesar suara, cakera padat (CD), mikrofon, satu unit monitor, televisyen dan beberapa keping resit tunai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 January 2015 @ 9:32 AM