DR Khair (tengah) bersama Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Khairil Awang (kiri) dan Timbalan Pengarah Peperiksaan, Kamarudin Jazuli meneliti analisis keputusan STAM.
Oleh Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya

Seramai 3,823 atau 63.3 peratus calon yang menduduki Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2014 memperoleh pangkat Maqbul (Lulus) hingga Mumtaz (Cemerlang) iaitu meningkat 310 calon berbanding 2013.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof berkata, calon yang mempe roleh sijil pangkat Mumtaz dalam STAM 2014 pula 331 calon iaitu menurun berbanding 369 calon pada tahun sebelumnya.

Menurutnya, calon yang memperoleh Jayyid Jiddan (Sangat Baik) pula meningkat kepada 1,130 orang, namun menurun di segi peratusan 0.1 peratus.

“Sementara itu, calon yang memperoleh sijil pangkat Jayyid (Baik) dan Maqbul meningkat, masing-masing 1,880 dan 482 calon iaitu peningkatan 1.6 dan 2.3 peratus,” katanya pada sidang media Pengumuman Analisis Keputusan STAM di Kementerian Pendidikan di sini, semalam.

Katanya, 8,800 calon menduduki STAM bagi 2014 dengan 7,769 calon mendaftar di bawah pelbagai kategori sekolah selain 1,031 lagi adalah calon persendirian.

Dr Khair berkata, jumlah calon yang tidak layak memperoleh sijil STAM pula menurun 2.9 peratus berbanding tahun sebelumnya, iaitu 2,212 calon.

“Secara keseluruhan, pencapaian calon STAM 2014 setanding dengan 2013 dan Indeks Gred Purata Nasional (GPN) kedua-dua tahun menunjukkan nilai sama iaitu 3.20 mata,” katanya.

Katanya, bilangan calon yang gagal semua mata pelajaran (Gred Rasib) menurun 0.58 peratus berbanding 2013, dengan hanya 70 calon dicatatkan pada 2014.

Sementara itu, Khair berkata, empat daripada lima mata pelajaran bidang Bahasa Arab mencatatkan peningkatan bilangan dan peratusan calon yang memperolehi gred Mumtaz hingga Maqbul.

Katanya, mata pelajaran itu adalah Nahu dan Sarf (0.1 peratus); Adab dan Nusus (2.7 peratus); ‘Arudh dan Qafiyah (0.1 peratus) dan Balaghah (4 peratus), manakala bagi mata pelajaran Insya’ dan Mutalaah pula, jumlah calon yang memperolehi gred itu meningkat 126 calon, tetapi dari segi peratusan turun 1.2 peratus.

“Selain itu, kedua-dua mata pelajaran bidang Syariah iaitu Hadith dan Mustolah serta Fiqh mencatatkan peningkatan yang memperolehi gred Mumtaz hingga Maqbul, masing-masing 0.1 dan 0.7 peratus,” katanya.

Bagi bidang Usuluddin pula, katanya, dua daripada tiga mata pelajaran bidang itu meningkat di segi bilangan calon, namun menurun di segi peratusan.

“Mata pelajaran Hifz Al-Quran dan Tajwid meningkat 113 calon (menurun 1.2 peratus), manakala Tafsir dan Ulumuhu meningkat lapan calon (menurun 2.6 peratus).

Sementara itu, Dr Khair berkata, kementerian merancang membawa 64 guru yang juga penutur jati bahasa Arab dalam kalangan negara Arab mulai tahun depan bagi proses pengajaran dan pembelajaran.

Menurutnya, pihaknya menunggu kelulusan kerajaan pusat terutama bagi kelulusan peruntukan.

“Bahagian Pendidikan Islam kementerian menyiapkan kertas cadanganmembawa 64 penutur jati bahasa Arab itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 January 2015 @ 10:37 AM