AHMAD Razif menyerahkan replika kunci rumah mampu milik kepada Rohmat.
Oleh Faizul Azlan Razak

Kuala Terengganu: Hajat seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) memiliki rumah sendiri menjadi kenyataan apabila menerima surat tawaran layak mendiami Rumah Mampu Milik (RMM).

Penerima, Rohmat Nor Yahya, 48, berkata, dia gembira dan bersyukur apabila menerima jawapan layak menerima RMM di Kampung Batin, Seberang Takir, di sini.

Dia yang kudung kedua-dua belah kaki dan tangan kanan berkata, penantiannya menunggu jawapan sejak empat tahun lalu untuk memiliki kediaman itu juga akhirnya berbaloi dan selepas ini tidak lagi menumpang di rumah saudara.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan negeri terutama Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman yang merealisasikan impian saya memiliki kediaman sendiri.

“Tanpa RMM ini, tidak mungkin saya dapat membina rumah sendiri dengan keadaan diri yang kurang mengizinkan ini,” katanya yang memiliki seorang anak berusia setahun enam bulan.

Seorang lagi penerima, Kamarudin Mokthar, 35, berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana sudi membantu rakyat dengan menawarkan harga RMM dengan kadar yang berpatutan.

“Sudah pasti saya tidak mampu membina rumah sendiri kerana pendapatan yang diperoleh hasil bekerja di kedai kain hanya untuk menampung keluarga,” katanya.

Majlis Penyerahan Kunci RMM dan Bantuan Banjir disempurnakan Ahmad Razif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir di Pekarangan Bangunan Penyelaras UMNO Kampung Batin, Sebarang Takir, kelmarin.

Turut hadir, isteri Menteri Besar, Toh Puan Halina Zakaria, Speaker DUN, Datuk Mohd Zubir Embong dan Pegawai Pembangunan Kuala Nerus, Datuk Basir Ismail.

Sementara itu, Ahmad Razif berkata, seramai 84 individu terpilih mendiami rumah dengan kadar harga subsidi RM68,000 berbanding harga sebenar RM184,000 seunit.

“Semua pemilik rumah ini hanya perlu membayar ansuran bulanan RM187 sebulan dengan tempoh bayaran 30 tahun tanpa sebarang faedah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 January 2015 @ 5:23 AM