Skip this ad x
Azrul (kiri) memeriksa keadaan trelernya.

Rembau: “Saya sedang mendengar radio sebelum dikejutkan bunyi letupan kuat. Saya segera keluar dari kenderaan dan mendapati beberapa tayar treler terbakar,” kata pemandu lori Azrul Azhari, 28, yang terselamat apabila treler dipandunya terbakar di Kilometer (KM) 232.6, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, mangsa dalam perjalanan menghantar muatan 19 paip dari Subang Jaya, Selangor ke Tanjung Langsat, Johor.

Azrul berkata, kejadian berlaku ketika dia memandu di lorong kiri jalan sebelum segera berhenti di lorong kecemasan.

“Saya dapati beberapa tayar treler terbakar dan menyambar beberapa bahagian lain kenderaan berat ini,” katanya.

Menurutnya, dia kemudian cuba memadam kebakaran menggunakan alat pemadam api, namun api semakin marak.

Dia bagaimanapun sempat memisahkan bahagian kepala dan badan treler bagi mengelakkan api membakar keseluruhan kenderaan itu.

“Orang awam yang menyaksikan kejadian itu menghubungi pihak bomba bagi mendapatkan bantuan,” katanya.

Menurutnya, pihak bomba tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian sebelum memadam kebakaran.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Rembau Abdul Halim Abdul Malik berkata, api dipadamkan sepenuhnya 30 minit kemudian namun kenderaan itu terbakar hampir 70 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Februari 2015 @ 5:00 AM