Singapura: Kapten pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 dipercayai tidak duduk di kerusinya berikutan sedang membuat ‘prosedur ortodoks’ ketika pembantu juruterbang berusaha keras mengawal kemudi pesawat.

Bagaimanapun kapten terbabit dianggap terlewat untuk menyelamatkan pesawat itu apabila kembali semula ke kerusinya.

Perkara itu didedahkan sumber yang terbabit dengan tugas
penyiasatan nahas pesawat itu terutama pada detik akhir sebelum tragedi.

Siasatan tertumpu kepada aspek penyelenggaraan, prosedur dan latihan walaupun kerajaan Indonesia menegaskan secara terbuka masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan.

Sumber mendedahkan pesawat itu mengalami kerosakan peranti komputer kawalan penerbangan lebih seminggu ketika penyelenggaraan manakala kapten pesawat itu juga sudah melakukan penerbangan dengan pesawat itu bersama peranti yang rosak, beberapa hari sebelum kemalangan berlaku.

Pihak AirAsia Indonesia bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana perkara itu sedang disiasat Majlis Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Indonesia (NTSC).

Sebelum ini timbul perbahasan apabila maklumat mendedahkan kapten pesawat QZ8501 menutup suis sistem komputer berkembar pesawat (FAC) pada pesawat.

Keputusan mematikan FAC membuatkan semua pihak terkejut kerana prosedur biasa hanyalah menetapkan semula sistem dengan menekan butang pada panel.

Juruterbang pesawat Airbus320 yang enggan dikenali berkata, amalan menutup suis FAC adalah luar biasa.

“Anda boleh menetapkan semula FAC. Tindakan memotong semua kuasa adalah luar biasa,” katanya. -REUTERS

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Februari 2015 @ 5:07 AM