Kuala Lumpur: Pakar sejarah negara perlu diberikan pengiktirafan dilantik sebagai Ahli Dewan Negara untuk duduk bersama pakar bidang lain membahas penggubalan undang-undang sejajar dengan status kepakaran mereka.

Ini berikutan sesetengah pindaan undang-undang di Dewan Negara dan Rakyat kurang melihat aspek sejarah lampau.

Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz berkata, penggubalan atau pindaan undang-undang akan sempurna jika sudut sejarah, ekonomi dan budaya diperinci.

“Pada masa kini, ramai ahli politik tidak begitu tahu berkenaan sejarah apabila membahas atau membentangkan pindaan undang-undang.

“Saya melihat terdapat keperluan Ahli Dewan Negara dilantik dalam kalangan pakar sejarah berdasarkan pengetahuan mereka,” katanya selepas forum ‘Sejauh Mana Perlembagaan Melindungi Kedudukan Raja dan Masa Depan Melayu’ anjuran Persatuan Sejarah Malaysia di Wisma Sejarah, di sini, semalam.

Beliau berkata, sistem perundangan tidak boleh dipisahkan dengan sejarah.

“Jika pakar budaya boleh duduk dalam Dewan Negara, kenapa tidak pakar sejarah.

“Saya sudah beberapa kali mengusulkan perkara ini dalam seminar sejajar dengan keputusan Kementerian Pendidikan mewajibkan subjek Sejarah lulus dalam peperiksaan, namun masih belum berkesempatan menyampaikan kertas cadangan kepada pihak berwajib,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai situasi institusi raja dikritik oleh banyak pihak di media sosial, Shamrahayu berkata, perkara ini berpunca daripada institusi itu sendiri.

“Institusi diraja menjadi persoalan masyarakat disebabkan persepsi rakyat yang mahukan sesuatu yang baik dalam institusi itu.

“Untuk mengukuhkannya, institusi diraja perlu diberitahu peranan mereka bagi menyemai semangat patroritik dan jati diri bangsa serta memahami sensitiviti sejajar dengan peredaran zaman,” katanya.

Ditanya mengenai lukisan Yang di-Pertuan Agong serta Raja Permaisuri Agong dari sisi belakang karya pelukis tempatan Vincent Leong, Shamrahayu berkata, secara amalan dan persepsi rakyat, perkara ini tidak boleh terima.

“Bagaimanapun dari segi undang-undang, perkara ini tidak menyalahi disebabkan pelukis itu mungkin mempunyai falsafah dan sebab tertentu,” kata Shamrahayu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Februari 2015 @ 5:09 AM