ANGGOTA JPAM membantu memberikan rawatan awal kepada  lelaki yang menikam perutnya sendiri.
ANGGOTA JPAM membantu memberikan rawatan awal kepada lelaki yang menikam perutnya sendiri.
Oleh Hazsyah Abdul Rahman

Sandakan: Kecewa ditinggalkan teman wanita, seorang lelaki bertindak nekad menikam perutnya sendiri dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam, lelaki belum dikenali identiti lingkungan 20-an itu ditemui orang ramai dalam keadaan perutnya berlumuran darah dan dihantar ke Hospital Duchess Of Kent (HDOK) bagi mendapatkan rawatan.

Difahamkan, lelaki terbabit dikatakan sedang makan bersama seorang gadis dipercayai teman wanitanya.

Namun, berlaku pertengkaran menyebabkan gadis berusia belasan tahun itu bertindak meninggalkan teman lelakinya.

Lelaki berkenaan yang kecewa kemudian mengeluarkan objek tajam lalu menikam perutnya sendiri.

Menurut saksi kejadian dikenali sebagai Emma, 30, berkata ketika kejadian lelaki terbabit dilihat berbual bersama seorang gadis di medan selera pusat beli-belah itu.

“Tidak lama kemudian, mereka seperti bertengkar sebelum gadis terbabit beredar.

“Lelaki ini dilihat mengeluarkan sesuatu lalu menikam perutnya sendiri,” katanya.

Emma berkata, selepas pakaiannya dipenuhi darah, lelaki itu dilihat menuju ke tandas dipercayai untuk membasuh lukanya.

“Beberapa pengunjung yang menyedari kejadian memaklumkan perkara itu kepada sepasukan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang kebetulan berada di kawasan itu.

“Difahamkan, lelaki terbabit kemudian dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JPAM Sabah Kolonel Mulliadi Al-Hamdi Ladin ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian itu.

“Beberapa anggota JPAM yang kebetulan berada di lokasi kejadian segera mendapatkan lelaki terbabit untuk dirawat.

“Selepas memberi rawatan awal, lelaki ini dihantar ke hospital untuk rawatan selanjutnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Februari 2015 @ 7:21 AM