AKTIVITI di sekitar Betong tergendala akibat terputus bekalan air.

Betong: Lebih 10,000 penduduk di Betong terputus bekalan air bersih apabila empat pam di loji rawatan air Lubau, dekat Layar, rosak akibat ditenggelami air selepas banjir melanda bahagian ini, tiga hari lalu.

Keadaan itu turut menyebabkan sebahagian besar aktiviti harian terutama gerai makanan terpaksa menangguhkan operasi berikutan ketiadaan sumber air.

Jurucakap Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak berkata, pemeriksaan terutama pam, kabel dan panel elektrik mendapati keempat-empatnya membekalkan air mentah rosak dan perlu dibaiki segera.

Katanya, banjir berlaku di kawasan Loji Rawatan Air Lubau, Layar di sini menyebabkan empat pam rosak dan dijangka pulih sepenuhnya Jumaat ini.

“Berdasarkan laporan diterima kontraktor bertanggungjawab, kerja baik pulih dijangka mengambil masa antara tiga hingga empat hari.

“Bagi mengatasi masalah bekalan air bersih, JKR akan menghantar air menggunakan lori bermula pagi tadi (semalam) secara berperingkat dengan sumber itu diperoleh dari Loji Rawatan Air Lichok, Saratok.

“Kawasan penghantaran air membabitkan Pasar Lama Betong, Pasar Medan, Sekolah St Augustine, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kedit, Kolej Vokasional Betong, Hospital Betong, Klinik Kesihatan, Kampung Melayu dan rumah panjang berhampiran,” katanya dalam kenyataannya di laman Facebook JKR Sarawak.

Katanya, JKR berusaha mencari dan memasang pam air baru bagi menggantikan rosak secepat mungkin dan ketika ini terpaksa meminjam dua pam air daripada bahagian lain.

“JKR memohon maaf atas kesulitan dialami penduduk Betong kerana tidak menyangka banjir besar berlaku menyebabkan bekalan air bersih terputus. Kami akan berusaha menyelesaikan masalah itu dengan segera untuk kemudahan penduduk setempat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Februari 2015 @ 6:41 AM