MUHYIDDIN bersama Pegawai Daerah Cameron Highlands, Datuk A Rahman Hamza (kiri) meninjau kerja melancarkan aliran Sungai Bertam ketika mengadakan pemeriksaan mengejut ke Cameron Highlands, semalam.
MUHYIDDIN bersama Pegawai Daerah Cameron Highlands, Datuk A Rahman Hamza (kiri) meninjau kerja melancarkan aliran Sungai Bertam ketika mengadakan pemeriksaan mengejut ke Cameron Highlands, semalam.
BERNAMA

Cameron Highlands: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meluahkan rasa dukacita dengan pencerobohan di tanah tinggi Cameron Highlands yang terus berlaku walaupun operasi penguatkuasaan giat dijalankan.

Muhyiddin berkata, lebih membimbangkan apabila pihak berkaitan begitu berani mencabar pihak berkuasa dan jika keadaan itu berterusan, beliau tidak pasti sehingga bila tanah di Cameron Highlands boleh bertahan.

“Saya agak dukacita, walaupun sudah tahu berkenaan pencerobohan ini, tetapi apabila melihat secara dekat, hampir sebahagian kawasan yang ditutup plastik merupakan kawasan pertanian yang diceroboh dan pencerobohan berlaku semasa proses penguatkuasaan terhadap penceroboh sedang berjalan.

“Sudah dua hari saya berada di sini dan dapat lihat Cameron Highlands sudah parah dan jika tidak ada satu tindakan tegas dan berkesan diambil, saya tak tahu berapa lama lagi kawasan ini boleh bertahan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada wakil media selepas melakukan pemeriksaan mengejut ke Cameron Highlands untuk melihat perkembangan terkini usaha baik pulih dan pemantauan pihak berkuasa berikutan insiden banjir lumpur juga tanah runtuh di kawasan peranginan itu pada November tahun lalu.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Banjir Kilat di Cameron Highlands berkata, walaupun lebih 500 kakitangan dan pegawai daripada pelbagai jabatan serta agensi terbabit dalam operasi membersih selain membanteras penerokaan tanah, beliau mendapati ia belum memadai.

Beliau bagaimanapun yakin penguatkuasaan yang berkesan boleh dilaksanakan dengan menambah penguat kuasa serta memperbanyakkan alatan yang boleh membantu kerja penguatkuasaan.

“Antara perkara yang boleh dilaksanakan adalah mewujudkan pos-pos kekal di kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan pencerobohan dengan meletakkan penguat kuasa sehingga proses penguatkuasaan dan pembersihan yang sedang dilaksanakan selesai dijalankan,” katanya.

Muhyiddin berkata, perkara itu akan diputuskan selepas mendapat pandangan daripada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan kerajaan negeri Pahang pada mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengenai Banjir Kilat di Cameron Highlands akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Februari 2015 @ 7:15 AM