Jertih: Seorang suri rumah warga emas bersama cucu perempuannya berdepan detik cemas selepas kereta Mercedes Benz milik suaminya tiba-tiba dinaiki dua lelaki bersenjatakan pedang sebelum mereka dilarikan dalam kejadian dipercayai bermotifkan samun di sebuah madrasah Kampung Jabi, dekat sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi, mangsa berusia 62 tahun bersama cucunya berusia tiga tahun turut ditinggalkan di tepi jalan oleh suspek kira-kira 30 kilometer dari lokasi mereka dilarikan.

Sebelum kejadian, mangsa bersama suami berusia 61 tahun dan cucunya dikatakan dalam perjalanan dari Kelantan ke Kuala Terengganu dan suami mangsa berhenti di madrasah berkenaan untuk menunaikan solat Subuh.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Khaled Che Lah berkata, suami mangsa singgah di madrasah berkenaan untuk menunaikan solat Subuh dengan meninggalkan mangsa dan cucunya di dalam kenderaan terbabit dalam keadaan kenderaan yang tidak berkunci dan enjin tidak dimatikan.

Beliau berkata, sebaik tiba di madrasah itu, suami mangsa meletakkan keretanya dan meninggalkan isteri serta cucunya di kawasan berkenaan.

“Ketika menunggu suaminya, kenderaan mereka dihampiri sebuah Proton Wira sebelum dua lelaki tiba-tiba keluar dan masuk ke dalam kereta terbabit.

“Suspek kemudian mengacukan sebilah pedang dan mengugut mangsa supaya tidak berbuat bising sekiranya tidak mahu diapa-apakan.

“Bimbang keselamatan diri, warga emas itu bersama cucunya terpaksa akur sebelum kereta milik suaminya dipandu suspek dengan sebuah kereta Proton Wira yang dipandu rakan sejenayah mengekori dari arah belakang,” katanya.

Khaled berkata, kedua-dua mangsa ditinggalkan di tepi jalan di Kampung Cherang Hangus, Bachok, Kelantan iaitu kira-kira 30 kilometer dari lokasi mereka dilarikan.

Katanya, sebelum ditinggalkan, suspek turut menyamun wang tunai dan barang kemas milik mangsa.

“Mangsa membuat laporan di Balai Polis Bachok, Kelantan sementara suami mangsa yang menyedari kehilangan isteri dan cucunya turut membuat laporan di Balai Polis Banggol Judah, Machang, Kelantan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan usaha memburu suspek giat dijalankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Februari 2015 @ 7:52 AM